The Smart Investor
Previous slide
Next slide

Siri Penyelidikan ICMR: Bagaimana Milenial Dan Gen Z Rakyat Malaysia Mendapat Maklumat Berkenaan Kewangan Dan Pelaburan

70
SHARES
138
VIEWS

Dalam artikel pertama siri kami, kita telah melihat dengan lebih dekat mengenai sikap dan tingkah laku kewangan semasa golongan milenial dan Gen Z rakyat Malaysia. Berdasarkan penemuan daripada tinjauan seluruh negara yang dilakukan oleh Institute for Capital Market Research Malaysia (ICMR), kami mendapati bahawa tingkah laku pelaburan pelabur muda boleh dikelaskan kepada tiga kategori yang berkaitan dengan perbezaan di dalam pendapatan, ilmu kewangan atau keyakinan, dan toleransi risiko.

Di sebalik perbezaan individu ini, adalah penting juga untuk memahami bagaimana trend sosial dan isu struktur yang lebih luas boleh membentuk pilihan dan tingkah laku pelaburan. Ini termasuklah trend penggunaan media, kerana pelabur muda semakin beralih kepada sumber maklumat digital yang boleh memberi kesan kepada cara mereka membuat keputusan kewangan dan pelaburan.

Saluran Dalam Talian Adalah Sumber Pilihan

Internet atau sumber dalam talian adalah sumber paling popular untuk maklumat berkenaan produk-produk pelaburan, sebagaimana dilaporkan oleh 69% responden dalam tinjauan ICMR. Dalam kumpulan ini, Facebook/Instagram (75%), laman web/blog (68%) dan YouTube (65%) adalah platform dalam talian yang paling kerap dikunjungi. Kecenderungan untuk sumber maklumat dalam talian adalah lebih lazim di kalangan mereka yang berumur 30 tahun dan ke bawah.

Penemuan ini tidaklah mengejutkan kerana generasi muda membesar dalam zaman Internet dan berasa lebih selesa menjalankan kehidupan mereka dalam talian. Golongan milenial menerajui penggunaan teknologi baru, dan kajian McKinsey di rantau Asia Pasifik mendapati bahawa 50% ke 60% pengaruh utama dalam keputusan jenama bagi Gen Z, datangnya daripada media sosial dan laman-laman dalam talian.

Rajah 1: Sumber Maklumat (Sumber Data: ICMR)

Walaupun platform dalam talian seperti Instagram dan YouTube memberi peluang untuk sampai terus kepada golongan milenial dan Gen Z, tetapi ianya tidak sentiasa sampai kepada mereka yang amat memerlukannya. Walaupun Internet penuh dengan sumber yang tersedia untuk tahap celik kewangan yang berbeza, kebanyakan sumber ini masih memerlukan pengguna untuk mencarinya secara aktif.

“Saya tahu ada banyak video di luar sana, tetapi saya mendapati banyak daripadanya adalah membosankan atau terlalu panjang. Saya berhenti menonton selepas beberapa minit. Saya hanya memerlukan sesuatu yang mudah untuk difahami. Ianya membantu sekiranya saya tidak perlu mencarinya secara aktif”

– Haris, 25, wartawan

Kecenderungan Pengesahan Dalam Media Sosial Baru

Berbeza dengan platform media sosial lain, TikTok menyediakan kandungan kepada pengguna menggunakan sistem rekomendasi. Apa yang dilihat seseorang di TikTok mereka kurang ditentukan oleh siapa yang mereka ikuti, tetapi ianya disusun mengikut algoritma yang berdasarkan kepada minat mereka. Sesetengah responden yang ditemubual ICMR menyebut bahawa mereka terjumpa video-video pendidikan kewangan di TikTok walaupun mereka tidak mencari maklumat kewangan dalam talian secara aktif.

Media sosial yang menggunakan sistem rekomendasi ini menyediakan peluang yang baik untuk mencapai segmen sasaran yang tidak mencari maklumat kewangan secara aktif. Walau bagaimanapun, segmen sebegini mungkin tidak mempunyai kemahiran atau ilmu yang betul untuk menilai kebolehpercayaan semua kandungan kewangan yang mereka temui dan untuk menentukan maklumat yang bersesuaian dengan diri mereka sendiri.

Sebagai contoh, konten / subkomuniti #fintok di TikTok (yang mempunyai lebih daripada 500 juta tontonan ketika artikel ini ditulis) mempunyai segala-galanya daripada petua belanjawan yang asas sehinggalah kepada nasihat untuk memilih saham tertentu. Sama seperti terlalu sedikit maklumat boleh mempengaruhi pembuatan keputusan, terlalu banyak maklumat juga boleh menjurus kepada penapisan maklumat terpilih yang disebabkan oleh kecenderungan pengesahan, atau kecenderungan untuk mengukuhkan kepercayaan terhadap kepercayaan selama ini.

“Saya tidak pernah mencari maklumat kewangan sebelum ini, saya tidak menganggap diri saya sebagai celik kewangan. Tetapi saya terjumpa satu video TikTok tentang petua menyimpan wang, dan saya perlahan-lahan melihat lebih banyak kandungan berkenaan kewangan peribadi di sana. Kawan saya juga mula bercakap tentang pelaburan hartanah dan pendapatan pasif selepas menontonnya di TikTok.”

– Farish, 30, Pengurus kafe

#FinTok, juga dikenali sebagai TikTok Kewangan, adalah subkomuniti pengguna TikTok yang menyediakan nasihat, pendidikan, dan perbincangan mengenai kewangan peribadi menerusi klip video pendek (Sumber Imej: SECCL)

Meningkatkan Tahap Kepekaan Terhadap Penipuan Kewangan

Teknologi merupakan serampang dua mata, terutamanya yang memberi kesan terhadap tingkah laku kewangan. ICMR sebelum ini telah meneroka perkara ini dalam laporan kami, Meningkatkan Celik Kewangan dalam Dunia Digital: Pengajaran Global daripada Pemahaman Tingkah Laku dan Implikasinya terhadap Malaysia. Laporan ini memberitahu bagaimana kemajuan teknologi telah memperkenalkan perangkap baru bagi pelabur dan membuka ruang untuk penipuan.

Dengan menggunakan konsep tingkah laku dalam membuat keputusan kewangan, kami dapat memahami dengan lebih baik bagaimana pelabur menjadi terdedah kepada penipuan. Kecenderungan sosial merujuk kepada tanggapan bahawa keputusan simpanan dan pelaburan ahli komuniti dan rakan sebaya mempunyai kesan bersebab terhadap keputusan individu menerusi interaksi sosial atau tekanan sosial untuk keakuran, penerimaan dan identiti sosial.

Memanfaatkan kecenderungan sosial mungkin membantu untuk menawan hati pelabur, tetapi ia juga boleh membuatkan mereka lebih terdedah kepada maklumat salah dan tingkah laku yang terikut-ikut. Tingkah laku terikut-ikut adalah apabila seseorang melakukan apa yang orang lain lakukan, dan bukannya menggunakan maklumat mereka sendiri atau membuat keputusan tanpa dipengaruhi sesiapa. Ini boleh menyebabkan individu untuk terlibat dalam penipuan, diperdaya atau mencipta gelembung pelaburan.

Sebagai contoh, Ombudsman untuk Perkhidmatan Kewangan (OFS) Malaysia berkata pada tahun 2020 bahawa peningkatan penipuan kewangan adalah disebabkan oleh penipu menggunakan taktik kejuruteraan sosial untuk mengeksploitasi kegelisahan kewangan mangsa ketika wabak melanda. Memandangkan media sosial menyediakan akses kepada pelbagai maklumat peribadi seseorang, penipu menggunakan data ini untuk menyasar dan memanipulasi pengguna yang lebih mudah terdedah.

Dalam ekonomi tingkah laku, kecenderungan sosial menggambarkan kecenderungan manusia untuk tidak hanya mengambil berat tentang hasil usaha sendiri, tetapi juga hasil kumpulan rujukan. (Sumber Imej: iStock / oatawa)

Membangunkan Kecelikan Kewangan Sebagai Langkah Ke Hadapan

Dalam persekitaran yang pesat membangun dan sarat maklumat hari ini, ianya menjadi semakin penting bagi pelabur muda untuk meningkatkan tahap kecelikan kewangan mereka secara proaktif. Kemunculan sumber-sumber maklumat bukan tradisional dan tidak terkawal bermakna pelabur perlu mengambil alih pemilikan keputusan kewangan mereka dengan kemahiran, pengetahuan dan peralatan yang betul untuk membuat pelaburan yang lebih baik.

Mujurlah, terdapat sejumlah besar kursus dan latihan kewangan dalam talian yang tersedia untuk pembinaan kapasiti individu. Memanfaatkan pemahaman tingkah laku juga boleh memberikan cara baru untuk berfikir tentang mengurus kewangan. Membangunkan kesedaran tentang kecenderungan mereka sendiri serta cara bagaimana kecenderungan tersebut boleh dieksploitasi, boleh membantu pelabur muda membina tabiat pelaburan jangka masa panjang yang lebih selamat dan strategik.

Artikel ini adalah sebahagian daripada siri kandungan oleh Institute for Capital Market Research (ICMR). Ikuti laman Facebook ICMR untuk mendapatkan info terkini tentang petua tingkah laku dan pandangan, untuk tabiat pelaburan yang lebih baik. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kajian ICMR ke atas milenial dan Gen Z, layari www.icmr.my atau muat turun laporan penuh di sini.

Mengenai Penulis

Datin Aida Jaslina Jalaludin, Ketua Penyelidik, ICMR
Nadhirah Ibrahim, Penganalisis Penyelidik, ICMR
Next Post