Penipuan Pencarian Pekerjaan Atas Talian: Bagaimana Mengenali Pemalsuan Identiti Dan Melaporkan Penipuan Pekerjaan Di Telegram

70
SHARES
138
VIEWS

Dalam siri pertama yang lalu, kita telah lihat bagaimana penipuan pekerjaan berlaku melalui Tawaran Melanggan Saluran YouTube atau Sebagai Pembantu Promosi Produk Shopee. Siri kedua ini adalah berkenaan dengan pemalsuan identiti yang kerap berlaku di Telegram, dan skim pelaburan NORDFX TRADER.

Pemalsuan Identiti di Telegram 

Penipuan jenis pemalsuan identiti ini kebiasaannya berlaku di Telegram. Modus operandi bagi penipuan jenis ini ialah scammer akan mengambil identiti kenalan rapat kita dengan menggodam akaun Telegram individu terbabit. Individu yang telah digodam akaun tidak sama sekali mengetahui akan perkara ini.

Mereka hanya akan mengetahui perkara ini setelah dihubungi oleh kenalan rapat, atau rakan mereka  mengatakan mereka telah dihubungi oleh mangsa dengan tujuan untuk meminjam duit. Dengan alasan bahawa akaun bank telah disekat, mereka juga menyatakan bahawa yang mereka akan membayar semula wang yang dipinjam kemudian.

Penggodam akan terus menggunakan akaun ini, memanipulasi mereka yang tidak bersalah dengan terus-menerus meminta agar mangsa memasukkan wang tersebut ke dalam akaun penama yang tidak dikenali sama sekali (bukan atas nama akaun mereka), ini merupakan salah satu tanda yang di luar kebiasaan atau sedikit ganjil yang mungkin anda boleh perhatikan, terutama sekali sekiranya perkara ini berlaku kepada anda.

Gambar 1: Akaun Telegram milik rakan sekerja penyelidik yang telah digodam. Sumber: Penyelidik

Antara tindakan yang boleh diambil setelah mengetahui akaun Telegram kita telah digodam ialah dengan memberitahu perkara ini secepat kepada kenalan rapat, agar mereka maklum mengenai perkara ini. Penyelidik melihat dalam kedua-dua kes ini, mangsa mengambil tindakan yang pantas dengan memaklumkan kepada kenalan rapat mereka yang akaun Telegram mereka telah digodam melalui status di WhatsApp.

Setelah usaha untuk meminjam duit tidak berjaya dan mangsa telah menyebarkan berita bahawa akaun Telegram kepada rakan-rakan terdekat mereka bahawa akaun mereka telah digodam, penggodam akan berhenti menggunakan akaun tersebut. Hasil carian penyelidik di laman web Commerial Crime Investigation Department (CCID), Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk akaun keldai/mule account mendapati bahawa bagi Gambar 1 (kanan) tiada sebarang laporan mengenai akaun ini dibuat.

Tetapi pada Gambar 2 (kiri), penyelidik mendapati tiga laporan telah dibuat tentang nombor akaun tersebut. Ini bermakna bahawa akaun yang sama telah digunakan untuk tujuan seperti ini dan laporan polis telah dibuat. Orang awam dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan menggunakan aplikasi semak akaun keldai/mule account CCID, PDRM sekiranya berasa ragu-ragu dengan mana-mana akaun semasa menjalankan sebarang urus niaga atas talian.

Gambar 2: Penggodam telah menggodam akaun Telegram milik rakan penyelidik (gambar sebelah kiri). Salah seorang mangsa yang telah menyedari bahawa akaun Telegram miliknya telah digodam dan meminta agar tidak menghiraukan permintaan untuk meminjam duit (gambar sebelah kanan). Sumber: Penyelidik

Pemalsuan Identiti: Skim Pelaburan NORDFX TRADER Di Telegram

Dalam kes pemalsuan identiti ini, mangsa akan dijemput memasuki satu kumpulan di dalam Telegram. Jemputan dibuat secara rambang, mangsa tidak mengetahui siapa yang memasukkannya ke dalam kumpulan Telegram tersebut. Aktiviti pelaburan di dalam kumpulan ini beroperasi pada jendela masa yang tertentu, iaitu bermula pada pukul 8 pagi setiap hari dan berakhir pada pukul 10 malam.

Pada pukul 11 pagi operasi akan berehat seketika untuk memberi laluan kepada Solat Jumaat tetapi hanya sekadar gimik semata-mata dan aktiviti pelaburan masih berlaku seperti biasa. Akaun palsu dan chatbot banyak digunakan dalam kumpulan Telegram ini, sebagai salah satu kaedah yang digunakan untuk kelihatan lebih meyakinkan agar mangsa turut serta dalam skim pelaburan.

Selain itu, akaun-akaun ini menggunakan nama-nama dan gambar profil yang kelihatan seperti orang tempatan, dari pelbagai latar belakang, seperti suri rumah sepenuh masa, pelajar, golongan bekerja, berkeluarga malah agamawan juga dilihat di dalam kumpulan Telegram ini untuk meyakinkan mangsa pemalsuan identiti bahawa tiada apa-apa yang tidak kena dengan skim pelaburan seperti ini.

Dalam ruangan pengenalan kumpulan, skim pelaburan ini didakwa didakwa selamat, patuh syariah, dipercayai dan diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Pelaburan ini mempunyai tiga pakej jualan iaitu asas, perak dan emas dengan kadar kenaikan keuntungan sekitar 2,900 ke 1,900 peratus, bergantung kepada pakej yang akan dipilih oleh pelanggan. Peratusan jumlah keuntungan yang dicadangkan adalah terlalu sempurna untuk dipercayai berlaku di dunia nyata ini (Jadual 1).

Hal ini kerana kenaikan seperti ini adalah tidak mungkin berlaku dengan jangkamasa yang dijanjikan iaitu dalam tiga sehingga enam jam sahaja sepanjang waktu transaksi ini berlangsung. Selain itu, jika benar NORDFX TRADER adalah pelaburan yang patuh syariah, mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk menetapkan atau menjanjikan kadar keuntungan yang akan diterima oleh pelabur.

Tidak ada satu pun skim pelaburan setakat ini yang menjanjikan keuntungan semata-mata tanpa kerugian (jika benar NORDFX TRADER mengikut prinsip musyarakah, iaitu konsep untung rugi akan ditanggung bersama oleh pelabur dan syarikat berkenaan). Ini adalah satu tanda yang boleh diperhatikan jika wujudnya apa-apa sindiket pelaburan yang menawarkan pulangan yang lumayan dalam jangka masa yang singkat.

Jadual 1: Pengiraan Peratusan Kadar Kenaikan Keuntungan yang ditawarkan oleh NORDFX TRADER kepada pelabur. Sumber: Penulis

Gambar 4: Tangkap layar di dalam kumpulan Telegram setelah menerima pembayaran daripada syarikat pelaburan (sebelah kiri) dan penyelidik berurusan dengan pentadbir kumpulan NORDFX TRADER (sebelah kanan). Sumber: Penulis

Rutin kumpulan ini adalah seperti yang berikut, pentadbir kumpulan akan memaklumkan mereka akan membuka pendaftaran pelaburan pada pukul 8 pagi, dengan menawarkan pelbagai pakej untuk pelabur baru seperti pakej asas, perak dan emas (rujuk Jadual 1), sekiranya pelabur berminat boleh berhubung terus dengan pentadbir kumpulan. Pelabur akan diminta untuk mengisi borang pendaftaran terlebih dahulu dan memberi modal pelaburan sebanyak RM500 serta akan diminta menkreditkan jumlah tersebut ke akaun yang diberikan oleh pentadbir kumpulan (Gambar 4, sebelah kanan).

Hasil carian penyelidik di laman sesawang CCID, PDRM semakan akaun keldai mendapati bahawa setakat ini tiada lagi laporan dibuat untuk nombor akaun terbabit. Ini bermakna akaun ini adalah akaun baru atau tidak ada lagi sebarang laporan dibuat mengenai akaun tersebut, tetapi tidak bermakna pelabur boleh mengambil mudah akan perkara ini.

Sekitar pukul 9.30 pagi, ruangan chat kumpulan akan dibuka dan disini kita akan melihat akaun-akaun yang dikendalikan oleh chatbot (aplikasi yang boleh meniru perbualan sebenar dengan pengguna dalam bahasa semula jadi mereka. Chatbots juga membolehkan komunikasi melalui teks atau audio di laman web, aplikasi pesanan ringkas, aplikasi mudah alih atau telefon).

Bermula dari pukul 9.30 pagi sehingga sebelum pukul 3.30 petang adalah waktu untuk chatbot aktif di dalam kumpulan ini. Balasan pesanan ringkas diterima masuk kebiasaanya di dalam jumlah yang banyak, begitu memberangsangkan sehingga kita merasakan mereka ini adalah manusia yang sebenar.

Namun, jika diteliti sedikit mendalam dari segi penggunaan perkataan, kita akan mendapati yang chatbot ini berkemungkinan sekali menggunakan bahasa Inggeris yang  diterjemah terus ke dalam bahasa Melayu atau menggunakan Bahasa Indonesia, yang mana bagi penyelidik sudah cukup untuk menimbulkan sedikit syak wasangka.

Selain itu juga, kesalahan tatabahasa yang mudah oleh chatbot ini contohnya pegunaan perkataan seperti “succes, chek, tela, widraw”. Selain itu penggunaan frasa “batas bankin” dan bisa (Bahasa Indonesia) , “pelabur baru yang ingin bergabung, sila confirm admin”, dan “sebahagian dari kami privasi atas permintaan pribadi pelabur” (ialah terjemahan terus dari bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu, merupakan ayat tergantung serta kesalahan ejaan pribadi, peribadi adalah ejaan sebenar) sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan kita merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pelaburan ini.

Untuk lebih menyakinkan mangsa pemalsuan identiti bahawa pelaburan ini benar-benar membuahkan hasil, selepas pukul 3.30 petang, pengumuman dari pentadbir kumpulan bahawa keuntungan telah selesai dimasukkan ke dalam akaun pelabur, chatbot-chatbot ini akan memuat naik gambar wang  yang banyak, gambar rawak individu yang sedang mengeluarkan wang di ATM, keratan video individu yang sedang menanti wang mereka dikira oleh juruwang, gambar rawak tangan wanita dengan gelang emas, mengatakan bahawa dari pelaburan ini, mereka dapat membeli emas untuk isteri mereka atau untuk diri sendiri, tangkap layar akaun bank mereka (Gambar 3, sebelah kiri) dan lain-lain lagi.

Resit pengkreditan dan penerimaan modal dari pelbagai jenis bank yang dipalsukan turut dimuat naik sepanjang selang enam jam waktu pelaburan ini. Semua helah ini dilakukan dengan tujuan agar mangsa pemalsuan identiti lebih mempercayai pelaburan ini sah.

Setelah diteliti dengan lebih mendalam, ternyata sebenarnya NORDFX TRADER adalah syarikat klon berdasarkan NORD FX (Gambar 4) dan merupakan pemalsuan identiti. Di dalam laman web NORDFX TRADER, dimaklumkan bahawa syarikat ini ditubuhkan pada tahun 2022, masih terlalu baru jika dibandingkan dengan syarikat sebenar yang telah wujud sejak tahun 2012 lagi.

Penggunaan nama syarikat adalah hampir sama dengan tambahan perkataan “trader” pada syarikat klon, kita mungkin tidak perasan bahawa pemalsuan identiti telah pun berlaku. Ini bertujuan untuk mengaburi mata pelanggan dan pelabur tidak akan mengetahui hal ini melainkan mereka membuat sedikit kerja rumah.

Adalah dinasihatkan agar orang awam tidak sama sekali terpengaruh dan kelabu mata apabila berdepan dengan skim pelaburan yang terlalu sempurna untuk berlaku dalam keadaan ekonomi yang serba tidak menentu ini.

Sedikit masa yang diluangkan untuk mencari lebih maklumat mengenai apa-apa peluang pelaburan yang nampak terlalu sempurna sebenarnya, boleh membuatkan kita sedar akan pemalsuan identiti serta menyelamatkan wang mangsa daripada lesap begitu sahaja.   

Gambar 4: Pemalsuan identiti berlaku, dengan laman web syarikat sebenar (sebelah kiri) dan laman web syarikat klon (sebelah kanan). Sumber: Penyelidik

Semoga kita semua lebih berhati-hati dengan pemalsuan identiti, terutamanya taktik yang digunakan dalam skim penipuan pencarian pekerjaan di Telegram.

Mengenai Penulis

Rashid Ating. Penyelidik di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, dan Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Lebih banyak artikel daripada Rashid Ating:

Next Post