Ramai orang terkesan dengan kedatangan pandemik COVID-19. Demi meneruskan kelangsungan hidup, mencari pekerjaan adalah sangat penting. Namun, hal ini telah diambil kesempatan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menawarkan peluang pekerjaan yang tidak wujud.
Beberapa jenis sindiket penipuan pekerjaan telah muncul antaranya yang popular pada ketika ini ialah tawaran melanggan saluran di YouTube, pembantu promosi produk di Shopee, pemalsuan identiti di Telegram, Pelaburan Nord FX di Telegram dan pertolongan untuk mendapatkan wang yang telah ditipu.
Ini merupakan siri pertama daripada beberapa siri yang akan memperincikan tentang jenis-jenis penipuan pekerjaan dan dalam talian yang semakin berleluasa di Malaysia pada ketika ini.
Penipuan Pekerjaan: Tawaran Melanggan Saluran YouTube atau Sebagai Pembantu Promosi Produk Shopee
Modus operandi bagi penipuan pekerjaan adalah dengan membuat tawaran melanggan saluran di YouTube dan pembantu promosi produk di Shopee lebih kurang sama. Sebagai permulaan, mangsa akan dihubungi secara rawak melalui Whatsapp atau Telegram memaklumkan mangsa tentang peluang pekerjaan secara atas talian.
Berdasarkan pengalaman penyelidik, mereka lebih kerap beroperasi di Whatsapp dan akan memasukkan dan mengajak mangsa ke dalam kumpulan di Whatsapp atau Telegram dan sebaliknya. Hal ini berkemungkinan disebabkan kerana di Malaysia, Whatsapp digunakan secara meluas, dan merupakan medium komunikasi utama yang digunakan hampir oeh segenap lapisan masyarkat berbanding dengan Telegram.
Di sini, mereka akan ditawarkan peluang pekerjaan sepenuh masa atau sementara. Gaji bulanan yang boleh diperolehi bagi pekerja sepenuh masa dalam lingkungan RM18,000 sehingga RM25,000 manakala bagi pekerja separuh masa ialah dalam lingkungan RM450 sehingga RM600.
Mangsa juga diberitahu yang mereka boleh membuat pekerjaan ini pada bila-bila masa mengikut kesesuaian mereka. Sebagai permulaan, mangsa akan diminta untuk memberikan tiga tanda suka/like kepada tiga produk jualan yang berbeza di Shopee.
Selepas menyelesaikan tugasan ini, mangsa akan memperoleh pendapatan RM30 mengikut tiga tanda suka yang telah mereka diberikan mengikut tugasan tadi. Selepas meyelesaikan tiga tugasan awal ini, mangsa penipuan pekerjaan akan dipelawa atau dimasukkan ke dalam satu kumpulan di dalam Whatsapp (Gambar 3, sebelah kanan).
Sebelum memulakan tugasan, mangsa akan diminta untuk memberikan sedikit butiran peribadi mereka seperti nama, umur, dan pekerjaan dengan ingin mengetahui sama ada mangsa berusia 18 tahun ke atas. Semua ini dilakukan dengan tujuan agar mereka kelihatan seolah-olah adalah syarikat yang sebenar menjalankan aktiviti pencarian pekerja tanpa menimbulkan sebarang syak wasangka.

Gambar 1: Penyelidik ditawarkan dua peluang pekerjaan separuh masa oleh wakil jualan yang mendakwa daripada Shopee dan yang mendakwa pernah melihat resume penyelidik di Jobstreet. Sumber: Penyelidik
Manakala bagi tugasan melanggan saluran di YouTube, modus operandi yang digunakan adalah hampir sama. Mangsa akan diperkenalkan dengan syarikat Ariff Communication iaitu sebuah agensi pemasaran digital.
Mangsa akan dimaklumkan bahawa syarikat ini merupakan syarikat yang kukuh dan mempunyai kaitan dengan jenama-jenama gergasi seperti Tiktok, You Tube, Google, Yahoo, Bing, Facebook dan META dalam membantu meningkatkan tahap keterlihatan mereka di dalam talian.
Selain itu, untuk lebih meyakinkan mangsa penipuan pekerjaan, syarikat ini juga mempunyai kerjasama dengan artis-artis terkenal dan memerlukan sejumlah besar pekerja untuk melanggan saluran dan halaman Youtube pelanggan mereka.
Sebelum mangsa menyertai Arif Communication secara rasmi (dijemput memasuki kumpulan di Whatsapp atau di Telegram), mangsa diminta untuk menjalani sedikit ujian iaitu, mangsa akan diminta untuk melanggan tiga saluran atau halaman berbeza di YouTube, dan akan dibayar RM10 untuk setiap tugasan yang diselesaikan. Mangsa akan diminta untuk melanggan tiga saluran iaitu KFC Arabia, Blackpink dan satu saluran rawak.
Pautan untuk saluran setiap YouTube itu akan diberikan dan mangsa hanya perlu menekan dan setelah itu memberikan tangkap layar (screenshot) kepada individu yang menjemput mereka. Di sini, mangsa tidak akan merasakan apa-apa kejanggalan kerana saluran yang dilanggan itu adalah jenama yang kukuh, dalam masa yang sama, mangsa penipuan pekerjaan sebenarnya sedang diumpan dengan membuat tugasan mudah terlebih dahulu agar lebih bersemangat untuk meneruskan tugasan yang lain kemudian.
Setelah siap menyelesaikan tiga tugasan tersebut, mangsa akan diminta untuk menghubungi pegawai perhubungan/receptionist di Telegram. Mangsa akan diberikan nombor siri sebagai nombor identiti mereka, dan pegawai perhubungan/receptionist yang bertugas di bahagian ini seperti sudah mengetahui tujuan mangsa menghubungi mereka.
Mangsa akan diminta untuk memberikan butiran peribadi mereka seperti nama, nama akaun bank dan nombor akaun bank, dan mangsa penipuan pekerjaan akan dibayar wang berdasarkan tugasan mereka tadi. Bayaran RM15 atau RM30 dibuat pada peringkat ini sebenarnya untuk meraih kepercayaan mangsa bahawa tugasan ini boleh dilakukan dan tidaklah sesukar yang disangkakan di samping ia boleh dilakukan bila-bila masa pada waktu senggang. (penyelidik juga mengambil kesempatan ini dengan memperdayakan mereka beberapa kali, dengan melakukan tiga tugasan pertama tanpa sebarang sekatan kerana seolah-olah tidak ada sebarang tapisan untuk mengenalpasti individu yang sama telah dijemput dan menyelesaikan tugasan yang sama buat beberapa kali).
Gambar profil yang digunakan adalah palsu dengan menggunakan gambar wanita, mengambil kesempatan atas kelemahan lelaki yang pada kebiasaannya akan tertarik kepada wanita.

Gambar 2: Penyelidik berhubung dengan pegawai perhubungan/receptionist selepas menyelesaikan tiga tugasan percubaan. Sumber: Penyelidik
Mangsa akan dijemput untuk menyertai kumpulan di Telegram atau di Whatsapp dan sebaliknya. Ini menandakan bahawa mangsa telah diterima untuk bekerja dengan syarikat ini. Di dalam kumpulan ini, mangsa akan diminta membuat tugasan yang sama, dengan bayaran yang sama (melanggan akaun atau saluran tertentu di YouTube, atau memberikan tanda suka/like kepada produk-produk jualan tertentu di Shopee.
Mangsa akan memberikan tangkap layar dan memuat naik di dalam kumpulan ini serta memberikan kepada pegawai perhubungan/receptionist bagi tujuan pembayaran dan pengesahan).
Kumpulan ini sebenarnya adalah satu helah untuk mengaburi mangsa penipuan pekerjaan, kerana sekali imbas pada ahli-ahli kumpulan ini mangsa tidak akan merasakan sesuatu yang tidak kena (kerana ia meliputi segenap lapisan masyarakat, bangsa, jantina dan agama). Kumpulan ini diwujudkan dengan tujuan memerangkap mangsa, dengan ahli-ahli yang lain berperanan untuk mewujudkan suasana yang normal selepas mangsa dan beberapa orang lain seperti mangsa juga dimasukkan ke dalam kumpulan tersebut.
Selepas dimasukkan ke dalam kumpulan ini, pentadbir kumpulan (admin) akan mengeluarkan amaran agar tidak menghubungi mana-mana ahli kumpulan lain secara peribadi, kerana dikhuatiri mereka ini adalah penipu dan tidak boleh dipercayai sama sekali. Ini merupakan langkah tambahan yang diambil oleh pentadbir kumpulan, kerana setelah beberapa kali terlibat menyiasat mengenai jenis penipuan pekerjaan ini, inilah pertama kali amaran seperti ini dilaksanakan.
Penglibatan ahli-ahli kumpulan yang lain terlalu responsif, seolah-olah wujud persaingan antara mereka semua (pada hakikatnya mereka ini telah berpakat antara satu sama lain) dan mangsa akan merasakan dia akan ketinggalan jika tidak turut serta. Walaubagaimanapun, selepas menyelesaikan tiga tugasan pertama (sama seperti yang sebelumnya), mangsa penipuan pekerjaan akan diminta untuk “membeli tugasan” dengan membayar jumlah tertentu (bagi pekerjaan melanggan saluran di YouTube dan pembantu promosi produk di Shopee).
Pembelian tugasan ini adalah satu kemestian jika ingin meneruskan pekerjaan sepenuh masa atau separuh masa ini. Kegagalan mangsa untuk mematuhi arahan ini akan menyebabkan mereka akan ditendang keluar dari kumpulan ini (Gambar 3, sebelah kanan, kotak berwarna merah).
Modal yang diminta bermula dari nilai yang kecil sehingga nilai yang besar. Frasa semakin tinggi risiko, semakin tinggi keuntungan digunakan untuk membuat mangsa tergiur dengan wang yang akan diperolehi nanti.
Ini merupakan satu tanda besar bahawa tidak mungkin wujud sebarang peluang pekerjaan sepenuh masa atau separuh masa yang meminta kita membuat bayaran pendahuluan terlebih dahulu untuk mendapat bayaran yang lebih lumayan nanti (dengn memberi pengecualian kepada pemeriksaan kesihatan yang boleh dituntut semula nanti).

Gambar 3: Tangkap layar yang menunjukkan jumlah yang perlu dibayar oleh mangsa penipuan pekerjaan untuk meneruskan tugasan mereka yang berikutnya selepas mendapat bayaran pertama mereka (sebelah kiri, dari tugasan melanggan saluran Youtube, sebelah kanan dari tugasan pembantu promosi produk Shopee). Sumber: Penyelidik
Selepas diminta untuk mengeluarkan modal bagi tujuan meneruskan pekerjaan, mangsa akan diberikan pilihan sama ada ingin mengeluarkan modal atau tidak. Mangsa akan diminta berurusan dengan pegawai perhubungan mereka, dan disini peranan pegawai perhubungan penting untuk memujuk mangsa agar turut sama menyertai.
Dalam masa yang sama, ahli-ahli lain akan memuat naik resit penyertaan mereka, mengisyaratkan mereka turut serta dan secara psikologinya ini boleh menyebabkan mangsa mengambil keputusan yang salah dan kehilangan wang mereka disebabkan pengaruh ahli-ahli kumpulan yang lain. Resit-resit yang dimuatnaik oleh ahli-ahli kumpulan yang lain adalah palsu untuk mengaburi mata mangsa.
Pada peringkat ini mangsa penipuan pekerjaan dinasihatkan agar tidak mempedulikan pertanyaan dari pegawai perhubungan dan hanya melihat sahaja aktiviti yang dilakukan oleh mereka.
Seandainya mangsa bersetuju untuk mengeluarkan modal mereka bagi meneruskan pekerjaan, mereka akan mendapat pulangan pada kali pertama. Ini merupakan strategi yang digunakan untuk terus memerangkap mangsa, membuat mangsa menjadi lebih ketagih dan terikat untuk terus mendapatkan wang. Namun, jika mangsa terus meneruskan lagi selepas itu, dikhuatiri mereka tidak akan mendapat semula wang mereka.
Sebaliknya, pentadbir kumpulan dan pegawai perhubungan akan terus meminta mangsa untuk menambahkan lagi modal mereka sambil memberikan alasan bahawa bayaran penuh hanya akan dikeluarkan/dibayar kepada mangsa selepas membayar jumlah yang tertentu. Ini hanyalah alasan dan helah semata-mata daripada pentadbir kumpulan dan pegawai perhubungan untuk terus-menerus memeras mangsa sehingga mangsa kehabisan duit mereka.
Dalam kes yang lain, selepas mangsa telah kehabisan wang, mangsa terpaksa meminjam wang daripada rakan-rakan mereka yang lain dengan harapan mereka akan mendapatkan wang mereka semula. Kebiasaanya, mangsa hanya akan meyedari mereka tertipu selepas membuat bayaran beberapa kali namun tiada apa-apa tindakan daripada pentadbir kumpulan dan pegawai perhubungan, sebaliknya hanya janji-janji manis dan palsu diberikan oleh mereka agar mangsa terus membuat bayaran.
Pada peringkat ini, mangsa penipuan pekerjaan dinasihatkan berhenti membuat bayaran dan melaporkan kepada pihak berkuasa.
Mengenai Penulis

Rashid Ating. Penyelidik di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, dan Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Lebih banyak artikel daripada Rashid Ating:










