Permainan papan atau board games ini telah wujud selama beberapa dekad. Ianya sesuai untuk digunakan oleh kanak-kanak, mahupun orang dewasa, bergantung kepada permainan. Kini kita juga ada permainan papan untuk golongan kanak-kanak dan orang dewasa untuk lebih celik kewangan. Ianya adalah salah satu cara yang ramai orang terlepas pandang dan kurang mendapat perhatian.
Pembelajaran kewangan yang membosankan di kelas ataupun yuran kelas pengajaran yang mahal boleh menghalang kanak-kanak ataupun orang dewasa daripada semua peringkat umur daripada mempelajari ilmu yang penting. Sedangkan ianya mungkin dapat membantu mereka untuk membuat keputusan kewangan yang lebih baik di masa hadapan.
Cabaran “rat race” dan tahap literasi kewangan yang rendah di kalangan rakyat Malaysia amat membimbangkan. Maka, perlu ada usaha untuk meningkatkan tahap kecelikan kewangan ini dengan cara yang lebih menyeronokkan.
Tambahan pula, wang kertas yang kita gunakan tidak mempunyai nilai intrinsik, pemahaman mengenai ilmu ini dikira sebagai sesuatu yang lebih penting pada masa kini. Dengan keadaan semasa yang sering terdedah kepada kemelesetan ekonomi, hanya mereka yang dilengkapi dengan pengetahuan kewangan dan mampu membuat keputusan kewangan yang baik akan berjaya.
Baca: Adakah Duit Boleh Beli Kebahagiaan?
Belajar Kewangan Dengan Permainan Papan

Permainan papan pengurusan wang ini sebenarnya telah wujud sejak sekian lama. Ia sentiasa dikemas kini untuk mengikut trend semasa dalam dunia kewangan hari ini, di samping mengajar pemain cara untuk menjana pendapatan dan mengurangkan hutang.
Di antara permainan papan pengajaran kewangan yang sedia ada yang mampu untuk menghiburkan dan membantu orang ramai belajar tentang kewangan serta mengasah kebolehan pengurusan wang mereka, adalah permainan terkenal seperti Monopoli dan Cashflow 101, yang diasaskan oleh Robert Kiyosaki.
Dengan belajar ilmu pengurusan wang melalui permainan, ianya boleh menjadikan pembelajaran tentang kewangan sesuatu yang mudah dan menyeronokkan. Ia melatih otak untuk berfikir secara kritis, menyusun strategi, menganalisis dan merancang ke hadapan untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa. Dengan celik kewangan, ianta mampu untuk mengubah tahap kewangan dan kehidupan seseorang.
Sebagai contoh, masalah kewangan dalam keluarga mungkin timbul disebabkan oleh tahap literasi kewangan yang rendah, sehingga menjejaskan hubungan di antara ahli keluarga. Malah, penyebab perceraian yang tinggi adalah disebabkan masalah kewangan yang dihadapi suami isteri.
Oleh itu, mari mula belajar ilmu kewangan di usia muda dan seawal yang mungkin. Dengan adanya permainan papan ini, kini ahli keluarga boleh main bersama-sama dengan anak-anak. Di samping berhibur dan mengeratkan hubungan kekeluargaan, dapat juga meningkatkan lagi ilmu kewangan. Pastinya masa berkualiti dapat terisi bersama-sama dengan orang yang tersayang.
Baca: Keistimewaan Menyimpan Emas Yang Kalis Inflasi Dan Sebagai Langkah Berdepan Dengan Kejatuhan Ringgit
Mengenai Penulis

Azah Atikah Binti Anwar Batcha mempunyai latar belakang Perakaunan, Kewangan, Pengauditan dan Kewangan Islam. Beliau pernah bekerja dengan dua firma perakaunan terbesar di dunia sebelum melanjutkan pengajian pascasiswazah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur. Beliau boleh dihubungi di aaabwrite@gmail.com










