SC dan Pengawal Selia Sekuriti Kemboja Sepakat Meningkatkan Kerjasama dan Pembinaan Kapasiti

70
SHARES
138
VIEWS

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja (SERC) pada 27 Februari 2023 telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk memudahkan kerjasama pengawalseliaan, penguatkuasaan dan penyeliaan yang lebih luas antara kedua-dua pengawal selia. Ini berikutan globalisasi dan aktiviti rentas sempadan entiti/orang terkawal di kedua-dua negara yang semakin meningkat.

MOU tersebut yang meliputi bantuan penguatkuasaan rentas sempadan, kawal selia, dan penyeliaan pengantara pasaran modal, dan juga memudahcarakan maklumat pelesenan, akan mengukuhkan kerjasama dalam bidang kepentingan kawal selia bersama.

Di samping itu, MOU itu juga membincangkan pembangunan kapasiti dan modal insan, termasuk pertukaran kepakaran kawal selia dan pengetahuan teknikal, bagi memudahkan dan menggalakkan pembangunan pasaran modal masing-masing, seiring dengan pertumbuhan dan pembangunan berterusan kedua-dua pasaran modal Malaysia dan Kemboja.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata peningkatan kerjasama kawal selia antara pihak berkuasa menjadi penting apabila kesalinghubungan antara pasaran ASEAN berkembang.

Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin

“MOU ini meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak berkuasa dan akan memberi manfaat bersama dalam membangun dan mengawal selia pasaran modal masing-masing”, katanya.

Ketua Pengarah SERC, H.E. En. Sou Socheat, berkata: “Dengan pemeteraian MOU ini, kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa dilihat amat bernilai, dan menandakan hubungan kukuh yang dipercayai dan perkongsian pengalaman dalam pelbagai bidang terutamanya pengawalseliaan dan penyeliaan. Kedua-dua pasaran akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini yang mewujudkan faedah jangka panjang untuk rakyat dan negara dalam globalisasi pasaran kewangan ini.”

MOU itu ditandatangani oleh Dato’ Seri Dr Awang Adek Hussin dan En. Sou Socheat, dengan kehadiran pengurusan kanan dari SC dan SERC. Berikutan pemeteraian MOU itu, pegawai kanan SC dan SERC telah mengadakan perbincangan dua hala sebagai langkah pertama dalam meneroka objektif MOU untuk memudahkan pembangunan pasaran modal masing-masing.

Bidang seperti perlindungan pelabur, pembangunan kapasiti dan penawaran dan pembangunan produk telah dibincangkan. Dalam memajukan beberapa bidang ini, SC dan SERC bersetuju bahawa perundingan dengan peserta pasaran domestik akan membolehkan pihak berkepentingan menilai permintaan dan kebolehlaksanaan yang berkaitan.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), sebuah badan berkanun yang melapor kepada Menteri Kewangan, ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993. Ia merupakan agensi kawal selia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati di laman sesawangnya di www.sc.com.my. Ikuti SC di Twitter di @SecComMy untuk perkembangan terkini.

Mengenai Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja

Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja (SERC), sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada Ogos 2008 di bawah undang-undang mengenai Terbitan dan Perdagangan Sekuriti Bukan Kerajaan (Preah Reach Kram No NS/RKM/ 1007/28) dan undang-undang mengenai Kelakuan dan Pertubuhan Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Bukan Bank (Preah Reach Kram No NS/RKM/0121/003). SERC mempunyai mandat berkanun untuk mengawal selia industri sekuriti di Kerajaan Kemboja. Maklumat lanjut tentang SERC boleh didapati di laman webnya di http://www.serc.gov.kh/. Ikuti SERC di Facebook di http://www.facebook.com/serc.gov.kh untuk maklumat terkini.

Next Post