Pilihan yang kita buat – benda yang kita beli, kejiranan yang kita diami, restoran yang kita pergi – adalah dipengaruhi oleh rangkaian sosial kita. Pilihan kewangan dan pelaburan kita adalah tidak terkecuali. Ribuan kajian tingkah laku telah menunjukkan bahawa keputusan simpanan dan pelaburan ahli-ahli komuniti dan rakan sebaya mempunyai kecenderungan kesan terhadap keputusan individu.
Kesan-kesan ini disebar melalui interaksi sosial secara langsung seperti daripada mulut ke mulut, atau seperti yang kami ketengahkan di dalam artikel terakhir kami, melalui saluran dalam talian seperti TikTok dan Instagram. Sama ada dalam talian atau luar talian, tekanan sosial seperti keinginan tersirat untuk pematuhan, kebolehterimaan dan identiti sosial mempunyai pengaruh yang kuat dalam membuat keputusan pelaburan.
Kepercayaan Adalah Penting Untuk Anak Muda
Tidak mengejutkan bahawa tinjauan terhadap golongan milenial dan Gen Z mendapati kebanyakan responden memilih sumber dalam talian untuk maklumat mengenai produk-produk pelaburan. Namun begitu, orang yang terdekat dan kenalan rapat masih memainkan peranan dalam membentuk keputusan kewangan mereka. Malah, rakan-rakan dan ahli keluarga berada di kedudukan kedua sumber popular maklumat di dalam tinjauan ICMR.

Rajah 1: Sumber untuk mengetahui tentang produk-produk pelaburan pasaran modal yang berbeza (Sumber Data: ICMR)
Semasa temubual kualitatif bersama para responden, satu aspek yang sering timbul adalah kepentingan kepercayaan bagi golongan milenial dan Gen Z. Ramai yang mendapatkan nasihat kewangan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang mereka percayai secara peribadi. Pelabur yang celik kewangan boleh membuat kajian tambahan dalam talian sendiri, tetapi bagi mereka yang mempunyai tahap celik kewangan yang lebih rendah akan lebih cenderung untuk mendengar nasihat daripada rakan-rakan yang mereka percaya dengan serta-merta.
Selain itu, kajian terdahulu menunjukkan bahawa golongan milenial dan Gen Z kurang mempercayai institusi tradisional seperti media berita dan pemimpin perniagaan, politik, atau agama. Oleh kerana itu, mereka lebih cenderung untuk beralih kepada orang di sekeliling mereka untuk mendapatkan nasihat kewangan atau pelaburan, tidak kira sama ada nasihat tersebut baik atau buruk.
“Saya pastinya perlu berbincang dengan rakan-rakan sebelum saya melabur, terutamanya jika mereka telah melabur di dalam produk yang sama. Baru-baru ini, rakan saya memberitahu bahawa beliau telah mengeluarkan pelaburan amanah sahamnya selepas membuat keuntungan sebanyak 15%. Saya juga akan turut melabur ke dalam amanah saham yang sama apabila saya mempunyai wang lebihan.”
– Zaim, 34, pemandu Lalamove
Keterkaitan Adalah Pemacu Utama Kepercayaan
Kebangkitan pempengaruh media sosial sepanjang sedekad yang lalu telah membentuk semula bagaimana generasi muda membentuk pendapat, membeli daripada jenama, dan memperoleh jawapan kepada soalan mereka. Syarikat kewangan dan pelaburan telah memanfaatkan populariti pempengaruh menerusi kerjasama, penajaan, dan iklan berbayar untuk mempromosi produk-produk pelaburan dan perkhidmatan mereka.

Walau bagaimanapun, ICMR mendapati bahawa apabila ianya berkaitan dengan kewangan peribadi, sesetengah responden lebih suka bercakap dengan rakan sebaya mereka kerana mereka tidak dapat berhubung kait dengan ramai pempengaruh kewangan peribadi. Ini disebabkan oleh persepsi bahawa kebanyakan pempengaruh kewangan peribadi mempunyai matlamat kewangan yang kelihatan sukar untuk dicapai, yang akhirnya melemahkan semangat mereka.
Oleh itu, keterkaitan adalah pemacu penting bagi pelabur milenial dan Gen Z. Maksud keterkaitan adalah lebih mendalam daripada kaitan, dengan memanfaatkan kebenaran asasi manusia: keperluan untuk menjadi kekitaan, merasa dilihat dan dihargai, dan diterima untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan sosial. Akhirnya, manusia adalah makhluk sosial yang senang dipengaruhi oleh norma sosial dan identiti sosial apabila membuat keputusan kewangan yang penting.
“Saya berhenti mengikuti pempengaruh apabila mereka mempunyai sasaran seperti menyimpan sebanyak RM100,000 sebelum umur 30 tahun. Saya tahu simpanan saya amat jauh sekali dan ianya hanya akan lebih melemahkan semangat saya.”
– Calvin, 29, pengurus pemasaran prestasi
Lebih Banyak Percakapan Tentang Wang
Walaupun banyak pantang larang lama telah dipecahkan atau sekurang-kurangnya telah dilembutkan, stigma yang menyelubungi perbincangan mengenai wang masih kekal sehingga ke hari ini. Bagi generasi yang lebih tua, kewangan sering dianggap sebagai sempadan perbualan terakhir dalam kalangan rakan-rakan dan ahli keluarga. Walau bagaimanapun, ICMR mendapati bahawa golongan milenial dan Gen Z mahu membubarkan pantang larang ini dan membincangkan hal-hal berkaitan wang secara lebih terbuka.
Ramai antara yang kami temu bual merasakan bahawa perbualan sesama rakan tentang wang harus dinormalisasi dan ianya boleh membantu satu sama lain mengemudi keputusan kewangan. Ini adalah selari dengan kajian global lain, yang mendapati bahawa golongan milenial dan Gen Z jauh lebih telus dengan rakan sebaya mereka mengenai kewangan mereka berbanding dengan generasi sebelumnya.

Menjadi lebih terbuka dan telus tentang kewangan mungkin disebabkan oleh sikap keterbukaan generasi muda tentang aspek lain dalam kehidupan mereka, begitu juga dengan di media sosial. Namun, walaupun dalam kalangan rakan rapat, anak muda boleh menjadi kurang selesa untuk membawa topik seperti gaji atau pendapatan (apatah lagi masalah kewangan), terutamanya jika mereka dididik dari awal untuk tidak bertanya tentang pendapatan seseorang.
“Saya rasa kita harus menormalkan perbincangan tentang kewangan kita dengan rakan-rakan. Saya telah belajar banyak perkara daripada perbincangan bersama rakan-rakan, itulah cara saya mula-mula mempelajari tentang StashAway dan Luno. Tetapi saya hanya akan rasa lebih selesa untuk bercakap dengan rakan yang mempunyai tahap pendapatan yang sama. Ia mungkin menjadi janggal jika mereka memperolehi lebih banyak atau lebih sedikit daripada saya.”
– Sofia, 29, jurutera
Menggalakkan Keselamatan Kewangan Dan Kebebasan
Memahami bagaimana keutamaan sosial boleh mempengaruhi pembuatan keputusan individu mempunyai implikasi kepada masyarakat yang lebih luas. Tingkah laku terikut-ikut, atau apabila pelabur berkelakuan seperti rakan sebaya mereka dan di sebalik menggunakan maklumat mereka sendiri atau membuat keputusan bebas, boleh menyebabkan individu terlibat dengan penipuan, diperdaya atau menghasilkan gelembung pelaburan.
Pelabur muda harus belajar untuk mendapatkan nasihat daripada pelbagai sumber bagi memperolehi pengetahuan dan keyakinan yang mereka perlukan untuk membuat keputusan pelaburan yang baik, yang turut menggalakkan keselamatan kewangan dan kebebasan mereka. Mewujudkan persekitaran komunikasi terbuka dan telus tentang kewangan peribadi boleh memperkasakan generasi akan datang untuk mencapai matlamat kewangan dan meningkatkan tahap kesejahteraan mereka.
Artikel ini adalah sebahagian daripada siri kandungan oleh Institute for Capital Market Research (ICMR). Ikuti laman Facebook ICMR untuk mendapatkan info terkini tentang petua tingkah laku dan pandangan, untuk tabiat pelaburan yang lebih baik. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kajian ICMR ke atas milenial dan Gen Z, layari www.icmr.my atau muat turun laporan penuh di sini.
Mengenai Penulis













