Sederhana Ketika Belanja

70
SHARES
138
VIEWS

Islam menganjurkan kepada kita betapa pentingnya keseimbangan dalam setiap kehidupan; sama ada di dunia yang fana’ ini mahupun di akhirat yang yang kekal abadi. Kita tidak disaran mengutamakan akhirat sehingga mengabaikan dunia; dan dalam masa yang sama kita juga dilarang mengutamakan dunia hingga melupakan akhirat.

Kos sara hidup adalah kos yang terpaksa ditanggung oleh isi rumah bukan sahaja untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal tetapi juga keperluan-keperluan lain untuk keselesaan hidup kita. Sebab itulah pentingnya kita sederhana ketika belanja.

Oleh yang demikian, dalam setiap aspek dan tingkah laku kehidupan manusia, amalan bersederhana amatlah penting dan wajar. Bersederhana di sini bermaksud berhemah dan berjimat tetapi tidak kedekut dan tidak juga boros.

Keseimbangan antara dunia dan akhirat juga perlu dipelihara agar tidak berlaku kepincangan, jom kita kupas topis sederhana ketika belanja ini.

Biar Papa Asal Bergaya

Berbelanja memang sesuatu yang menyeronokkan. Malah ada yang menjadikannya sebagai aktiviti wajib yang mesti dilakukan sebaik sahaja menerima pendapatan masing-masing. Tambah mengujakan, tentulah lambakan tawaran daripada pelbagai promosi di pasaran, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan yang menyukarkan kita beramal dengan sederhana ketika belanja.

Islam menetapkan supaya harta benda dibelanjakan secara berhemah. Walaupun berbelanja untuk keluarga disarankan, namun apa-apa bentuk pembaziran mestilah dijauhi. Yang pasti ialah berbelanja dengan bijak memerlukan ilmu dengan mengambil konsep sederhana ketika belanja.

Kata-kata seperti ‘biar papa asal bergaya’ dapat dilihat kepada faktor pengurusan kewangan generasi sekarang yang agak ‘rakus’ dalam mengimbangi perbelanjaan harian berbanding dengan jumlah pendapatan dimiliki. Ada ketikanya, ribuan ringgit sanggup dibelanjakan semata-mata memenuhi ‘impian sekarang’ tanpa mengambil kira keperluan menyimpan untuk masa depan.

Belum lagi diambil kira jumlah individu yang terperosok dengan bebanan kad kredit akibat ‘jerat’ gaya hidup yang mereka sendiri dambakan sehingga jumlah hutang terkumpul bertambah dalam sekelip mata tanpa pengawasan sewajarnya.

Kita perlu bijak mengawal kewangan supaya tidak terperangkap dengan beban hutang yang dicipta sendiri dengan cara mendisiplinkan diri ketika berbelanja. Hal ini penting supaya kita dapat menjalani kehidupan yang benar-benar berkualiti.

Sebagai orang Islam, semestinyalah kita wajib mencapai hayyatan toyibbah iaitu penghidupan terbaik menurut kehendak syara’, dengan salah satunya adalah dengan mengamalkan konsep sederhana ketika belanja.

Sederhana Ketika Belanja

Islam amat menekankan tentang bimbingan kepenggunaan dan mendidik agar bersederhana dalam berbelanja. Sifat dan amalan sederhana ketika belanja sangat digalakkan oleh Islam kepada umatnya.

Menurut Pamela N Danziger, yang merupakan penulis “Why People Buy Things They Don’t Need”, mendapati kebanyakan orang membeli sekadar untuk memenuhi dan memuaskan perasaan emosi atau meninggikan status hidup mereka. Ramai di antara kita yang memiliki ciri-ciri sedemikian.

Sebagai contoh, ada yang mempunyai bilangan pakaian atau kasut yang banyak yang memenuhi almari dan rak mereka. Namun, keinginan untuk terus membeli tidak luput malah akan terus membeli walaupun harus membelakangkan keperluan tertentu.

Konsep sebenar wasatiyyah sememangnya sukar kerana kerangka pemikiran masyarakat yang bersifat materialistik. Kita perlu menjadi individu yang aktif berfikir dan menjadikan ilmu sebagai asas segala tindakan kita. Unsur yang membawa kepada cara hidup ‘melampau’ perlu disekat penyerapannya dalam kehidupan masyarakat.

Kesederhanaan amatlah dituntut dalam Islam. Ini jelas sebagaimana firman Allah SWT, “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.” (Surah Al-Furqaan: 67).

Mereka yang berpegang kepada konsep kesederhanaan lazimnya digambarkan sebagai individu yang tawadhu’ dan berperwatakan sederhana. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak susah bagi sesiapapun yang sederhana dalam perbelanjaan” (Imam Ahmad) dan “Makanlah, minumlah, pakailah dan bersedekahlah, jangan berlebih-lebih (boros) dan janganlah untuk bermegah-megah.” (Abu Daud dan Ahmad).

Sederhana Ketika Belanja: Belanja Secara Berhemah

Oleh yang demikian dalam setiap aspek dan tingkah laku kehidupan manusia, amalan bersederhana amatlah penting dan wajar. Bersederhana di sini bermaksud berhemah dan berjimat tetapi tidak kedekut dan tidak juga boros.

Keseimbangan antara dunia dan akhirat juga perlu dipelihara agar tidak berlaku kepincangan. Walaupun berbelanja untuk keluarga disarankan, namun apa jua bentuk pembaziran mestilah dijauhi. Yang pasti ialah berbelanja dengan bijak memerlukan ilmu.

Individu yang tidak mengawal perbelanjaan lebih mudah terjerat dengan masalah hutang sehingga jatuh bankrap atau muflis sehingga menjejaskan kualiti kehidupan mereka sendiri.

Apabila manusia tidak memerdekakan jiwanya daripada harta benda, maka harta benda yang dimilikinya itu akan menguasainya. Oleh itu, carilah ketenangan jiwa dengan mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja.

Di Antara Nafsu Dan Masa Depan

Godaan nafsu mata seperti kata peribahasa, ‘rambang mata’ ketika membeli-belah haruslah dikawal bagi mengelakkan pembaziran. Belilah apa jua sekalipun berdasarkan keperluan sahaja supaya tidak melakukan pembaziran.

Elakkan perbelanjaan dalam keadaan yang terburu-buru atau ketika berada dalam keadaan yang tidak tenteram. Situasi seperti ‘impulse purchase’ wajar dielakkan sama sekali.

Antara istilah popular yang harus dihindarkan ketika melakukan perbelanjaan adalah seperti Beli Dahulu Bayar Kemudian (Buy First Pay Later). Terma ini jika tersilap langkah, akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada kemampuan kewangan kita.

Apatah lagi, apabila kita gagal mengenal-pasti kemampuan membayar di masa hadapan. Oleh itu, dahulukan kepentingan utama, kemudian barulah kepentingan sekunder dan selebihnya belajarlah menabung.

Selain daripada itu, obses sesetengah daripada kita terhadap kad keahlian (loyalty card) terhadap sesuatu jenama atau premis pasar raya juga semakin menjadi trend. Kebanyakan jenama dan pasar raya di negara kita menawarkan kad keahlian kepada pelanggan setianya.

Melalui kad–kad ini, para pelanggan akan mengumpul mata ganjaran yang boleh digunakan untuk menebus barangan lain maupun membeli barangan lain dengan harga diskaun. Namun, ini sedikit sebanyak mempengaruhi perbelanjaan kita apabila terpaksa membeli sesuatu yang bukan menjadi keperrluan semata-mata untuk memperolehi mata ganjaran atau diskaun yang ditawarkan.

Kemampuan membelanjakan keseluruhan pendapatan kita tidak bermakna kedudukan wang tunai kita adalah baik. Ia sebenarnya menunjukkan kegagalan kita membuat simpanan untuk tujuan kecemasan. Bayangkan, apakah akan terjadi kepada kedudukan aliran tunai kita kalau kita diberhentikan kerja atau tidak berupaya bekerja lagi?

Untuk itu, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang dapat membantu pengguna menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan. Antara yang perlu dilakukan termasuklah mengubah corak perbelanjaan harian dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang baik.

Oleh yang demikian adalah penting bagi umat Islam membuat perancangan dalam mengawal perbelanjaan mereka agar syariat menjadi penentu halal haram dalam menentukan perbelanjaan dan dalam masa yang yang menepati keutamaan Syariah yang telah digariskan. Islam juga menggariskan keutamaan menjauhi tiga unsur dalam harta iaitu riba, maisir dan gharar.

Perancangan yang baik dan pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu individu berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan. Buatlah perancangan dalam perbelanjaan namun dalam masa sama jangan pula jadikan alasan bersederhana untuk tidak bersedekah atau berinfaq.

Sememangnya terdapat dorongan daripada syaitan yang menyebabkan kita gagal melaksanakannya. Sebab itu kita perlu sentiasa menerbitkan rasa syukur, reda dan rasa puas nikmat pemberian yang ada.

Tempiklah pada nafsu, bisiklah pada hati, ikutlah iman ketika berbelanja. Tidak terfikirkah oleh kita, apa akan jadi pada keluarga kita jika semalam kita telah meninggal dunia dan dalam masa yang sama, tiada sesen pun pendapatan kita yang ditinggalkan untuk simpanan?

Tepuk dada tanya selera, tepuk dahi, fikir-fikirkanlah….

Semoga kita semua dapat mengamalkan sikap sederhana ketika belanja.

Mengenai Penulis

Dr Shahizan Md Noh merupakan pemegang pensijilan Islamic Financial Planner (IFP) daripada FPAM dan Associate Wealth Planner Syariah daripada FPSB Indonesia. Beliau juga adalah Wakil Pehasihat Kewangan Islam (IFAR) yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan merupakan ahli Association of Seniors in Islamic Finance (ARiF), Malaysian Institute of Accountants (MIA) dan The Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS).

Next Post