Pendidikan Celik Kewangan Dalam Peperiksaan PISA: Pendedahan Awal Mengenai Pendidikan Kewangan Dalam Kalangan Rakyat Malaysia Berumur 15 Tahun

70
SHARES
138
VIEWS

Pendidikan adalah tiket untuk masa depan yang lebih baik, petikan terkenal oleh Malcolm X. Pendidikan celik kewangan merupakan satu cara untuk melepaskan diri daripada kemiskinan, dan penting untuk menentukan halatuju kehidupan individu.

Ia adalah satu topik yang luas, meliputi pelbagai aspek dan dimensi. Dalam masa yang sama, pendidikan celik kewangan termasuk dalam kalangan salah satu cabang pendidikan.

Celik kewangan boleh ditakrifkan sebagai keupayaan seseorang untuk menunjukkan tingkah laku kewangan yang berhemah. Sifat celik kewangan harus ditanamkan sejak peringkat awal lagi; kerana kanak-kanak mudah menerima maklumat baru pada peringkat ini.

Baca: Pendidikan Celik Kewangan Menggunakan Permainan Papan (Board Games)

Tanggungjawab Untuk Beri Pendidikan Celik Kewangan

Untuk memastikan matlamat ini dicapai, peranan ibu bapa adalah penting. Bukan sahaja tanggungjawab ini terletak di tangan guru dan pihak kerajaan, tetapi ibu bapa sebagai orang yang rapat paling dengan  anak-anak, selain daripada rakan sebaya mereka, terutamanya pada peringkat awal perkembangan anak-anak. Pendedahan kepada pendidikan celik  kewangan adalah satu usaha bersepadu yang telah berlaku untuk beberapa waktu.

Ia boleh dilihat melalui Programme for International Student Assessment atau lebih dikenali sebagai (PISA). Peperiksaan ini  diadakan setiap tiga tahun, melibatkan pelajar berumur 15 tahun yang menetap di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD)  dan rakan kongsi (dikenali sebagai negara bukan OECD).

Di Malaysia, seramai 6,111 pelajar dari 191 sekolah di seluruh Malaysia telah menduduki peperiksaan ini, mewakili 388,638 pelajar yang berusia 15 tahun (72% daripada jumlah keseluruhan pelajar yang berumur 15 tahun) pada tahun 2018. Mereka akan dinilai dari aspek membaca, matematik, dan sains.

Daripada tiga domain kritikal yang disenaraikan di atas, literasi kewangan diuji  sebagai domain pilihan pada tahun 2012 (Pelajar dan Wang), 2015 (Literasi Kewangan Pelajar), 2018, (Adakah Pelajar Tahu Mengenai Wang). Dalam domain celik kewangan, soalan akan berkaitan mengenai pengetahuan para pelajar, memahami konsep dan risiko kewangan, kemahiran, motivasi, keyakinan untuk menggunakan pengetahuan serta pemahaman tersebut untuk membuat keputusan yang berkesan dalam pelbagai konteks ekonomi.

Ia juga bertujuan untuk melihat perkaitan antara kewangan dan kemahiran kognitif mereka, celik kewangan, dan literasi sains dan matematik.

Baca: 5 Tips Untuk Bantu Anda Tetapkan Matlamat Dan Capai Sasaran Kewangan

Walaupun Malaysia telah mengambil bahagian secara aktif dalam PISA sejak dari tahun 2009, 2012, 2018 dan pada tahun lepas (2022), prestasi pelajar berusia 15 tahun di Malaysia adalah di bawah paras normal dan kurang meyakinkan, berbanding rakan-rakan mereka di negara ASEAN yang lain. Disebabkan kerana matapelajaran celik kewangan telah menjadi semakin penting, beberapa buah negara telah menyediakan silibus pendidikan celik kewangan di sekolah.

Sukatan pengajaran dan pembelajaran literasi kewangan telah dimasukkan ke dalam program, kurikulum, silibus dan subjek yang telah sedia ada. Kemahiran yang diperoleh dalam matapelajaran celik kewangan sebenarnya agak membantu, dan pelajar boleh menggunakannya dalam konteks kehidupan sebenar serta meningkatkan lagi kemahiran matematik mereka.

Dengan menggunakan keputusan Peperiksaan PISA dalam Matematik sebagai penanda aras, pelajar berusia 15 tahun di Malaysia berjaya memperoleh 404 mata pada 2009, 421 mata pada kitaran 2012, dan 440 mata pada 2018.

Secara keseluruhannya, prestasi pelajar di Malaysia agak kurang memberangsangkan memandangkan Malaysia tidak pernah mencapai skor purata OECD walaupun sekali, bermula pada tahun 2009 (skor purata untuk matematik ialah 496), 2012 (skor purata untuk matematik ialah 494), dan 2018 (skor purata untuk matematik ialah 489).

Situasi yang sama juga dapat dilihat dalam Tinjauan Antarabangsa OECD/INFE Literasi Kewangan Golongan Dewasa pada tahun 2016, yang menunjukkan Malaysia berada di kedudukan yang ke-26 daripada 31 negara yang mengambil bahagian dalam kajian ini. Jiran serantau ASEAN kita, Thailand, menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik, dengan menduduki tempat ke-19 daripada 31 negara.

Ringkasan penemuan menunjukkan bahawa Malaysia adalah antara negara yang perlu mengukuhkan lagi pengetahuan celik kewangan dalam kalangan penduduk, seterusnya akan membantu mereka dalam membuat keputusan.

Kesan literasi kewangan yang lebih rendah dalam kalangan kanak-kanak berumur 15 tahun dan orang dewasa di Malaysia dapat dilihat dari kes-kes kebankrapan yang melibatkan generasi milenium. Pusat Penyelidikan Pew mentakrifkan golongan milenium sebagai individu yang dilahirkan antara tahun 1981 hingga 1996 (berumur 23 hingga 38).

Mereka juga dikenali sebagai Generasi Y. Rajah 1 menunjukkan jumlah kes kebankrapan mengikut kumpulan umur dari tahun 2018 hingga Disember 2022.

Rajah 1: Bilangan Kes Kebankrapan mengikut Kumpulan Umur dari tahun 2018 hingga Disember 2022

Sumber: Jabatan Insolvensi Malaysia, (2022)

Hasil dapatan itu agak membimbangkan kerana jumlah kes kebankrapan bagi kumpulan umur 25 hingga 34 tahun jika digabungkan dengan mreka yang berumur 35 hingga 44 tahun adalah sekitar 58.53 peratus, lebih daripada separuh. Sementara itu, kumpulan umur 55 tahun ke atas mempunyai bilangan kebankrapan terendah yang direkodkan, dengan 7,157 kes sahaja.

Satu lagi penemuan yang menarik, golongan milenium di dalam kumpulan umur ini adalah kohort pelajar yang sama yang mengambil bahagian dalam peperiksaan PISA 2009 (mereka dilahirkan pada tahun 1994 atau 1995, dan mereka berumur sekitar 29 dan 28 tahun pada tahun 2023) manakala dalam PISA 2012 (mereka dilahirkan pada tahun 1997 atau 1998, mereka berumur sekitar 26 dan 27 tahun pada tahun 2023).

Perlu diingat bahawa bilangan kes muflis telah menunjukkan corak penurunan setiap tahun bermakna generasi muda telah menyedari kepentingan pendidikan celik kewangan.

Baca: 7 Tabiat Individu Kaya Di Malaysia

Mengenai Penulis

Rashid Ating. Bekerja sebagai Penyelidik di Jabatan Statistik Ekonomi dan Gunaan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, dan Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 

Next Post