Sudahkah Anda Bersedia Untuk Bersara? Berapa Yang Anda Perlukan?

70
SHARES
138
VIEWS

Petikan dari Catherine Pulsifer menyebutkan “Persaraan: masa yang paling sesuai untuk menikmati semua perkara yang tidak dapat anda lakukan semasa anda bekerja.”. Ia adalah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan keadaan pesara apabila keluar daripada sektor kerajaan mahupun swasta. Kebiasaannya, para pesara akan mempunyai lebih banyak terluang berbanding sebelum ini.

Bercakap mengenai pesara atau penjawat awam yang telah menamatkan perkhidmatan, perkara pertama yang terlintas di fikiran semua orang ialah mereka akan menerima sejumlah wang dalam bentuk pencen dan ganjaran daripada kerajaan selepas bersara. Benar mereka akan sejumlah wang selepas menghabiskan masa selama 20, 30 atau 40 tahun berkhidmat dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

Walaubagaimanapun, dengan kenaikan kos sara hidup yang kian menekan pada masa kini, adakah wang tersebut mencukupi untuk menampung kos hidup para pesara?

Dengan kos sara hidup terus meningkat, wujud keperluan untuk berbelanja secara berhemah supaya pesara boleh bersiap sedia menghadapi kecemasan pada masa akan datang. Pada peringkat kehidupan manusia, jika kita menggunakan rajah kitaran hayat (seperti yang ditunjukkan pada Rajah 3), golongan warga emas atau pesara berada pada akhir kitaran hayat mereka dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan.

Perlu diingat bahawa anggaran perbelanjaan bulanan warga tua lebih kurang sama dengan pengguna pengangkutan awam tunggal dan pemilik kereta. Walau bagaimanapun, perbezaan yang ketara bagi kedua-dua kategori ini adalah warga tua atau, dalam istilah lain (baby boomers) telah mencapai segala-galanya dalam hidup mereka dan hanya ingin meluangkan masa untuk  bersara selepas menghabiskan masa untuk bekerja selama beberapa dekad.

Sebaliknya, orang pengguna kenderaan awam dan pengguna kenderaan sendiri adalah golongan muda ataupun graduan baru yang menamatkan pengajian dalam ijazah sarjana muda dan baru hendak bermula untuk membina kerjaya mereka. Oleh itu, bagi mendidik warga emas mengenai perbelanjaan berhemah dalam persaraan mereka, satu kajian telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) pada tahun 2021 untuk mencadangkan perbelanjaan belanjawan minimum bagi pesara yang mereka takrifkan sebagai warga emas tunggal mahupun berpasangan yang berumur 60 tahun ke atas (bekerja atau tidak bekerja).

Oleh kerana umur persaraan wajib di Malaysia adalah 60 tahun, maka para pesara dianggap tergolong di dalam kategori ini.

Pengkelasan Isi Rumah berdasarkan Belanjawanku 2021 

Jadual di atas menunjukkan anggaran perbelanjaan kos bulanan warga emas tunggal dan warga emas berpasangan untuk semua bandar utama di Malaysia. Selepas penjawat awam bersara daripada pekerjaan, warga emas tunggal memerlukan secara purata RM2182 manakala pasangan warga emas berpasangan memerlukan sekurang-kurangnya RM2819 untuk menjalani kehidupan yang baik.

Seperti yang kita sedia maklum, lebih banyak wang diperlukan untuk menampung perbelanjaan di bandar-bandar besar seperti Lembah Klang, Johor Bahru, Georgetown dan Kota Kinabalu. Sebaliknya, bandar-bandar kecil seperti Alor Setar, Kuala Terengganu, dan Kota Bahru kos perbelanjaan yang lebih sedikit, kerana kos sara hidup yang rendah.

Anggaran kos bulanan tertinggi bagi warga emas tunggal dan warga emas berpasangan adalah di Lembah Klang (Wilayah Tengah), manakala kos bulanan terendah adalah di Alor Star (Wilayah Utara). Jadual yang sama juga boleh digunakan sebagai panduan kepada pesara yang merancang untuk berpindah ke bandar tertentu selepas persaraan mereka dengan melihat kepada anggaran kos perbelanjaan di bandar tersebut.

Antara pilihan popular untuk para pesara adalah berpindah dari bandar besar ke bandar kecil selepas bersara untuk menikmati kehidupan yang aman, tenteram dan mudah.  

Sudahkah anda membuat persediaan yang secukupnya untuk berdepan dengan hari persaraan anda nanti? Jika belum, jom mulakan perancangan kewangan hari ini juga.

*Versi Bahasa Inggeris bagi artikel ini akan diterbitkan di majalah financial1st, Jilid 1, 2023. Majalah ini diterbitkan oleh Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC).

Mengenai Penulis

Rashid Ating bekerja sebagai Penyelidik di Jabatan Ekonomi dan Statistik Gunaan, Fakulti Perniagaan & Ekonomi dan Penyelidik di Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Malaysia. Artikel ini tidak mencerminkan pendirian dan dasar institusi yang terlibat. Ia merupakan pendapat, hasil kajian dan pengalaman penulis sendiri semasa terlibat dengan kerja lapangan. Penulis boleh dihubungi melalui e-mel di rashid_ating@um.edu.my

Next Post