Siri Penyelidikan ICMR: Memahami Pelabur Milenial Dan Gen Z Di Malaysia

70
SHARES
138
VIEWS

Anak muda adalah penting. Dengan generasi yang lebih tua semakin menghampiri umur persaraan, golongan milenial dan Gen Z menjadi semakin penting kepada ekonomi. Mereka merupakan kohort generasi terbesar, dengan kuasa untuk mempengaruhi pasaran dan hala tuju pasaran untuk dekad akan datang. Tetapi generasi muda ini berdepan dengan cabaran, termasuklah pendigitalan dan pasaran pekerjaan yang berubah dengan pantas.

Memandangkan saiz dan potensi golongan milenial dan Gen Z, pihak Institute for Capital Market Research Malaysia (ICMR) baru-baru ini telah menjalankan kajian seluruh negara bagi memahami dengan lebih mendalam berkenaan isu, cabaran, dan kelakuan berkenaan kewangan peribadi dan pelaburan. Artikel ini akan melihat dengan lebih dekat data penyelidikan ICMR dan apa yang ianya memberitahu kita tentang pelabur generasi akan datang.

Bukan Semua Pelabur Muda Adalah Serupa

Seperti mana-mana generasi, pelabur muda bukanlah kumpulan monolitik – keperluan dan keutamaan individu berbeza disebabkan beberapa faktor, daripada peringkat kehidupan kepada pendidikan dan pendapatan. Tinjauan ICMR yang diagihkan kepada 1,500 responden, mendapati bahawa golongan milenial dan Gen Z Malaysia boleh dikelaskan kepada tiga kumpulan dengan ciri-ciri yang unik.

22% daripada responden membentuk Kumpulan A, terdiri daripada mereka yang tidak melabur di dalam produk pelaburan. Manakala Kumpulan B pula, yang terdiri daripada 33% responden, hanya melabur ke dalam dana Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan/atau produk-produk amanah saham. Baki 45% responden yang membentuk Kumpulan C, mereka melabur ke dalam pelbagai produk pelaburan yang tidak terhad kepada ASNB dan produk-produk amanah saham sahaja.

Rajah 1: Tiga kategori berbeza responden (Sumber: ICMR)

Walaupun pelabur milenial dan Gen Z secara umumnya berkongsi persamaan sikap dan budaya yang membezakan mereka daripada generasi terdahulu – terdapat perbezaan ketara demografik dan tingkah laku di antara ketiga-tiga kumpulan pelabur yang dikenalpasti ICMR. Perbezaan ini boleh difahami melalui ciri-ciri demografik dan pendapatan, celik kewangan dan toleransi risiko, dan peruntukan pendapatan.

Demografik Dan Pendapatan

Berkenaan demografik, lebih ramai wanita berada di dalam Kumpulan A dan B, manakala 60% yang berada di dalam Kumpulan C adalah lelaki. Lebih ramai daripada mereka di Pantai Timur yang tidak melabur (Kumpulan A), manakala Kumpulan C pula mempunyai ramai daripada wilayah Tengah. Selain daripada itu, walaupun golongan Melayu terdiri daripada 58% daripada jumlah responden, mereka membentuk majoriti mereka yang tidak melabur (63%).

Lebih ketara lagi, terdapat perbezaan di antara tahap pendapatan isirumah di antara ketiga-tiga kumpulan. 69% daripada Kumpulan A mempunyai pendapatan isirumah kurang daripada RM5,000, manakala 56% daripada Kumpulan B berpendapatan di antara RM3,000 – RM7,000. Responden yang berada di dalam Kumpulan C pula didapati mempunyai pendapatan yang lebih tinggi, dengan 31% daripada mereka mempunyai pendapatan lebih daripada RM10,000.

Rajah 2: Demografik dan Perbezaan Pendapatan Di Antara Kumpulan (Sumber: ICMR)

Namun begitu, respons mendalam individu melalui temubual kualitatif dengan ICMR mencadangkan bahawa tahap pendapatan boleh guna adalah lebih penting berbanding tahap pendapatan yang diperolehi. Sesetengah orang yang ditemubual berasa mereka boleh mula melabur dengan pendapatan RM3,000 sebulan, sementara yang lain hanya berasa selesa untuk melabur setelah mempunyai pendapatan RM7,000 sebulan. Tetapi semua yang ditemubual bersetuju bahawa mereka akan lebih cenderung untuk melabur apabila pendapatan boleh guna mereka meningkat.

“Baru-baru ini saya bertukar kerja dan mendapat kenaikan gaji, ianya kini membuatkan saya lebih mudah untuk melabur. Sebelum ini, walaupun saya memperolehi pendapatan yang baik untuk usia saya, saya sukar untuk melabur kerana saya gemar gaya hidup seperti keluar makan dengan kawan-kawan, dan ianya merupakan perkara yang saya tak sanggup untuk korbankan”

– Roshan, 28, perunding

Celik Kewangan Dan Toleransi Risiko

Kajian ICMR mencadangkan bahawa terdapat hubungan di antara ilmu kewangan, keyakinan kewangan, dan toleransi risiko dengan kemungkinan melabur dan jenis produk yang dilaburkan. Sebagai contoh, seseorang yang tidak tahu banyak tentang hal-hal kewangan dan mempunyai tahap keyakinan yang sedikit, juga tidak mahu mengambil risiko – maka mereka tidak melabur dan tergolong di dalam Kumpulan A.

Ini dapat menjelaskan perbezaan tingkah laku di antara Kumpulan B, yang melabur ke dalam dana-dana ASNB atau produk-produk amanah saham, dengan Kumpulan C, yang melabur ke dalam produk-produk pasaran modal yang lain. Syarikat amanah saham pertama di Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1959. Ini mungkin menjelaskan kenapa pelabur runcit lebih selesa dengan produk-produk amanah saham, melihat kepada sejarah mereka yang lama di Malaysia.

Rajah 3: Celik Kewangan dan Tahap Toleransi Risiko Di Antara Kumpulan (Sumber: ICMR)

Selain daripada itu, ramai pelabur yang hanya melabur ke dalam dana-dana ASNB atau produk-produk amanah saham (Kumpulan B) cenderung untuk mempunyai toleransi risiko dan keyakinan kewangan yang kurang. Sebaliknya, mereka yang melabur ke dalam produk-produk pasaran modal lain seperti saham atau mata wang kripto, yang dilihat lebih berisiko, cenderung untuk mempunyai tahap toleransi risiko yang lebih tinggi dan mempunyai keyakinan kewangan yang lebih tinggi juga.

“Saya mempunyai akaun ASNB, walaupun peruntukan agar sukar untuk seseorang yang berbangsa Cina. Saya menganggap wang di dalam ASNB dan amanah saham sebagai simpanan kerana ianya lebih selamat. Saya memiliki sedikit saham luar negara dan sedikit mata wang kripto, yang saya anggap sebagai pelaburan. Saya pastikan saya simpan 60-70% daripada wang saya di dalam tempat yang lebih selamat dan pastikan ianya dengan platform yang dikawal selia, kemudian baru saya akan berasa lebih tenang untuk mengambil risiko yang lebih tinggi dengan pelaburan lain”

Han Cheong, 32, penjawat awam

Peruntukan Pendapatan

Perubahan tingkah laku merentas kumpulan juga ditunjukkan di dalam keputusan tinjauan ICMR terhadap peruntukan pendapatan. Peratusan yang lebih tinggi bagi Kumpulan C menyatakan bahawa mereka memperuntukkan amaun untuk pelaburan sahaja (27%) atau amaun berbeza untuk simpanan dan pelaburan (30%). Sebaliknya, peratusan yang lebih tinggi di dalam Kumpulan B menyatakan bahawa mereka memperuntukkan untuk simpanan sahaja (52%).

Ini menunjukkan perubahan di dalam perakaunan mental daripada Kumpulan B kepada Kumpulan C, dengan mereka yang melabur di dalam produk-produk pasaran modal lebih berkemungkinan untuk membezakan di antara simpanan dan pelaburan. Perakaunan mental merujuk kepada kecederungan untuk menyusun dana kepada akaun yang berbeza, mempengaruhi bagaimana seseorang itu berfikir tentang perbelanjaan.

Rajah 4: Peruntunkan Pendapatan Di Antara Kumpulan (Sumber: ICMR)

Melengkapkan data tinjauan di atas, dapatan daripada temubual kualitatif ICMR turut mencadangkan bahawa ramai anak muda Malaysia menganggap produk pelaburan yang lebih selamat sebagai ‘simpanan’. Sebaliknya, produk-produk yang berisiko tinggi dianggap sebagai ‘pelaburan’. Kecenderungan ini berkenaan dengan penilaian risiko peribadi mereka sendiri dan kaedah untuk membahagikan wang mereka secara mental.

“Saya membuka akaun ASB dan mengambil pinjaman ASB sebanyak RM50,000 kerana ibu saya suruh saya melakukannya. Saya bayar pinjaman tersebut setiap bulan, tetapi secara jujurnya saya tidak tahu bagaimana ianya berfungsi. Saya tidak tahu sehingga hari ini saya juga boleh memasukkan wang secara konsisten ke dalam akaun jika saya mahu”

-Haris, 25, wartawan

Mengejar Pelabur Muda

Dapatan kajian ICMR ke atas pelabur muda telah menyerlahkan banyak faktor yang berkait dengan tingkah laku pelaburan, termasuklah pendapatan, ilmu kewangan atau keyakinan, dan toleransi risiko seseorang. Penggubal dasar dan pemain industri harus mengelakkan diri daripada menggunakan pendekatan “satu-untuk-semua” apabila berdepan dengan pelabur milenial atau Gen Z, dan memilih untuk menggunakan dasar dan polisi yang berbeza atau bertingkat-tingkat.

Bagi pelabur muda yang masih tidak pasti atau tidak yakin tentang pelaburan, memanfaatkan pemahaman tingkah laku untuk menggunakan alat yang betul, kesedaran diri sendiri, dan teknik-teknik untuk mengemudi kewangan peribadi dapat membantu. Memahami kecenderungan mereka dan menggunakan heuristik (jalan pintas mental) untuk memudahkan proses membuat keputusan akan menggalakkan tabiat pelaburan yang lebih selamat dan lebih strategik untuk jangka masa panjang.

Artikel ini adalah sebahagian daripada siri kandungan oleh Institute for Capital Market Research (ICMR). Ikuti laman Facebook ICMR untuk mendapatkan info terkini tentang petua tingkah laku dan pandangan, untuk tabiat pelaburan yang lebih baik. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kajian ICMR ke atas milenial dan Gen Z, layari www.icmr.my atau muat turun laporan penuh di sini.

Mengenai Penulis

Datin Aida Jaslina Jalaludin, Ketua Penyelidik, ICMR
Nadhirah Ibrahim, Penganalisis Penyelidik, ICMR
Next Post