Kebaikan Skim Rumah Pertamaku (SRP) Dan Kesannya Setelah Dimansuhkan

70
SHARES
138
VIEWS

Pinjaman atau pembiayaan adalah satu inisiatif yang digunakan oleh masyarakat untuk mendapatkan aset terutama sebuah kediaman. Hampir kesemua bank komersial di Malaysia menawarkan skim pinjaman atau pembiayaan Islamik perumahan untuk bakal pelanggan mereka dengan kadar yang berbeza.

Di samping itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku (SRP) pada tahun 2011 untuk menggalakkan pemilikan rumah pertama dalam kalangan rakyat Malaysia. Skim ini adalah satu-satunya skim yang membantu rakyat Malaysia untuk mendapatkan pinjaman sehingga 110 peratus.

Di antara syarat untuk mendapatkan jumlah pinjaman tersebut adalah pendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah dan rumah yang ingin dibeli adalah berharga RM300,000 ke bawah. Walaubagaimanapun, pemohon dengan pendapatan isi rumah kasar RM10,000 dan ke bawah serta ingin memiliki rumah yang bernilai maksimum RM500,000 juga layak untuk memohon skim ini.

Pemohon SRP yang berjaya akan dijamin oleh Cagamas SRP Berhad sekaligus memberi keyakinan kepada bank-bank yang terlibat untuk memberi pinjaman atau pembiayaan kepada pemohon dengan jumlah melebihi harga rumah. Ini bererti, Cagamas SRP Berhad hanyalah penjamin dan pinjaman yang diperolehi adalah daripada bank-bank yang terlibat.

Oleh sebab itu, pemohon SRP yang berjaya tidak perlu membayar wang pendahuluan untuk memiliki rumah pertama kerana pinjaman perumahan yang mereka perolehi melebihi harga rumah yang mereka ingini.

Skim ini telah membantu rakyat terutamanya golongan belia dan yang berpendapatan rendah. Lebih daripada 90,000 permohonan untuk SRP diluluskan dan lebih daripada 90 peratus telah diberi kepada golongan B40 dan belia berusia di antara 25 hingga 40 tahun. 

Angka ini bukanlah angka yang kecil kerana SRP telah memberi peluang kepada lebih 90,000 keluarga untuk mendapatkan rumah yang mereka inginkan dan mungkin tanpa SRP, mereka tidak akan dapat memiliki rumah pertama mereka atas faktor kewangan.

Walaubagaimanapun, khabar yang mendukacitakan telah berlegar dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai skim ini akan dimansuhkan bermula 1 April 2023 dan informasi ini telah terpapar di laman sesawang rasmi SRP.

Ini bererti, setelah dimansuhkan skim ini, pembeli rumah pertama perlu membayar sebanyak 10 peratus wang deposit daripada nilai hartanah yang mereka inginkan sama seperti pembeli rumah yang lain.

Selain itu, ini akan mengakibatkan kuasa beli rumah dalam kalangan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan belia akan berkurangan. Mereka lebih memilih untuk berbelanja kepada barang-barang keperluan harian daripada mengumpulkan wang untuk membayar deposit rumah yang sudah tentu nilainya besar bagi mereka.

Seterusnya, golongan belia dan B40 juga akan sukar mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan terutamanya yang berhasrat memiliki rumah pertama kerana tiada lagi SRP yang memberi peluang mendapatkan pinjaman sehingga 110 peratus dan jaminan pinjaman atau pembiayaan daripada Cagamas SPR Berhad. 

Sebagaimana diketahui, di antara ciri untuk sesuatu pinjaman diluluskan adalah pemohon memiliki status kewangan yang baik atau mempunyai financial stability. Sebaliknya, golongan ini berada jauh daripada istilah memiliki kewangan yang stabil.

Hal ini juga akan mengakibatkan peningkatan lambakan rumah yang sedang dijalankan dan sudah siap dibina tidak terjual. Berdasarkan data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 27,746 unit kediaman yang bernilai RM18.41 bilion masih tidak dapat dijual pada suku keempat tahun 2022.

Negeri Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah merupakan negeri yang mengalami lambakan kediaman tidak terjual yang tertinggi. Johor adalah negeri tertinggi dengan bilangan dan nilai kediaman tidak terjual sebanyak 5,285 unit bernilai RM4.33 bilion diikuti Selangor (3,698 unit bernilai RM3.36 bilion), Pulau Pinang (3,593 unit bernilai RM2.74 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3,429 unit bernilai RM3.15 bilion).

Setelah SRP dimansuhkan, rakyat Malaysia akan melihat angka tersebut akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Oleh sebab itu, penulis berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk menyediakan skim yang lebih baik daripada SRP untuk kemaslahatan umum sebagaimana hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang di antara golongan yang kaya dan miskin dan misi Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan.

Sumber Rujukan:

  • SRP website – Elegibility Criteria

https://www.srp.com.my/bm/eligibility-criteria

  • NAPIC website – Press Release Malaysia Property Market Report 2022

https://napic.jpph.gov.my/portal

  • BH Online – Tiada lagi Skim Rumah Pertamaku mulai 1 April, pembeli perlu sediakan deposit

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2023/03/1080456/skim-rumah-pertamaku-dimansuhkan-bermula-1-april

  • Utusan Online – Pinjaman merosot cetus lambakan rumah tidak dijual

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/03/pinjaman-merosot-cetus-lambakan-rumah-tidak-dijual/

Mengenai Penulis

Muhammad Haris Naqiuddin bin Muda
Pensyarah Kewangan,
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,
UiTM Cawangan Johor

Next Post