5 Tips Untuk Bantu Anda Tetapkan Matlamat Dan Capai Sasaran Kewangan

70
SHARES
138
VIEWS

Pernahkah anda tetapkan matlamat tetapi gagal untuk mencapainya? Ianya mungkin untuk mula bersenam, melabur, meluangkan masa dengan keluarga, atau apa saja sasaran yang anda ada. Jom kita tengok beberapa tips bagaimana nak tetapkan matlamat dan capai sasaran kewangan anda.

Kita biasanya meletakkan sasaran pada awal tahun, tetapi menjelang bulan pertama dah gagal untuk memantau perkembangannya. Kita hanya semak semula apabila menjelang hujung tahun, itu pun sudah terlambat untuk buat apa-apa.

Oleh itu, pastikan anda ikut lima tips ini bagi membantu anda menetapkan matlamat dan capai sasaran kewangan yang ditetapkan.

Baca: 4 Personaliti Diri Mengenai Duit

1. Jelas

Adakah anda mempunyai sasaran kewangan yang jelas?

Ia boleh diukur berdasarkan jumlah simpanan, aliran tunia bersih, atau berapa nilai portfolio pelaburan, berapa banyak hartanah, atau berapa banyak pengurangan hutang bagi sesuatu tempoh masa. Nak lagi 5 tahun ke? Atau lagi 20 tahun apabila nak bersara kelak?

Dengan mempunyai matlamat yang jelas, barulah anda boleh capai sasaran kewangan.

Sama seperti ketika menggunakan GPS atau Waze, langkah pertama adalah memasukkan destinasi. Di dalam perancangan kewangan, anda perlu tahu dengan jelas apa yang ingin anda capai.

Kalau sasaran anda tak jelas, sampai bila-bila pun anda takkan sampai ke destinasi yang ingin dituju.

2. Sebab Yang Kukuh

Selepas anda ada sasaran yang jelas, langkah seterusnya adalah dengan mengetahui sebab anda mahukannya.

Kenapa anda perlu capai sasaran kewangan tersebut? Apa tujuannya? Untuk diri sendiri atau orang lain?

Bila ada sebab yang kukuh, ianya akan menarik anda ke arah sasaran tersebut. Anda mungkin berdepan dengan pelbagai cabaran atau rintangan, tetapi sebab yang kukuh akan membolehkan anda berada di landasan yang benar dengan cepat.

Sebagai contoh, dengan mencapai kebebasan kewangan, apa yang anda boleh lakukan? Adakah untuk hidup selesa bersama-sama keluarga? Adakah untuk mengembara satu dunia dan mencipta memori indah bersama yang tersayang? Adakah nak tubuhkan badan kebajikan?

Sebab yang kukuh ini akan memaksa anda melakukan tindakan yang luar biasa untuk mencapainya.

Baca: Simpan RM1 Juta Dengan Menabung Sendiri Atau Melakukannya Dengan Hartanah?

3. Konsisten

Konsisten adalah kunci yang akan membawa anda semakin hampir dengan nak capai sasaran kewangan. Jangan pandang rendah langkah-langkah kecil yang anda ambil setiap hari.

Sebagai contoh, dengan menyimpan RM3 sehari selama 365 hari, anda akan ada simpanan sebanyak RM1,100 dalam tempoh setahun. Apa akan jadi sekiranya anda melabur pula duit tersebut bagi mengembangkannya?

Seseorang yang menyimpan RM500 sebulan selama 35 tahun dengan andaian pulangan sebanyak 8% setahun, akan memperolehi RM1.1 juta di penghujung 35 tahun tersebut.

Seperti bak kata pepatah ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’.

4. Akauntabiliti

Anda mempunyai seseorang yang boleh bantu anda serta memberikan panduan untuk capai sasaran kewangan, sama ada seorang perancang kewangan atau seseorang yang berkelayakan untuk memberi nasihat?

Ianya seperti seorang mentor atau jurulatih yang boleh beri nasihat tentang apa yang baik dan apa yang buruk.

Dengan adanya figura tersebut, anda akan mempunyai motivasi yang lebih kuat.

Baca: 3 Tips Pelaburan Untuk Anak Muda Sempena Tahun Baru

5. Menilai

Menilai secara berkala adalah langkah yang bagus, sama ada setiap tiga bulan sekali, enam bulan atau setahun. Dengan mengetahui hasil sebenar, membolehkan anda membuat penambahbaikan atau mencuba kaedah lain atau mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu, yang boleh menyumbang anda capai sasaran kewangan.

Apabila anda sudah mempunyai sasaran kewangan, langkah penting adalah dengan melakukan tindakan. Sama ada buka akaun pelaburan, simpan duit setiap bulan, atau dapatkan temujanji untuk bertemu dengan perancang kewangan anda.

5 Tips Untuk Bantu Anda Tetapkan Matlamat Dan Capai Sasaran Kewangan

Setiap tahun baru datang dengan azam baru. Diharapkan tips ini dapat bantu anda menetapkan matlamat serta mencapai sasaran kewangan.

Baca: 7 Tabiat Individu Kaya Di Malaysia

Mengenai Penulis

Goh Chee Yong adalah perancang kewangan berlesen dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia. Beliau boleh dihubungi melalui emel di cygoh@imaxfinancial.com.my

Next Post