Penambahbaikan platform memperkasa usahawan dan pertumbuhan perniagaan, sambil menawarkan lebih nilai kepada pembeli
KUALA LUMPUR, MALAYSIA – Media OutReach Newswire – 23 Julai 2026 – Shopee, platform e-dagang terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan serta antara platform e-dagang terkemuka di Brazil, hari ini mengumumkan satu siri inisiatif pertumbuhan penjual baharu di bawah program Shopee Lindung Niaga, yang pertama kali diperkenalkan pada April 2026. Penambahbaikan terkini ini memberi tumpuan kepada membantu lebih ramai usahawan memulakan perniagaan, menyediakan sokongan tambahan bagi memberi perniagaan lebih fleksibiliti mengurus kos operasi dan mengukuhkan operasi, di samping memperluaskan keupayaan yang menyokong pertumbuhan perniagaan jangka panjang.

“Kami memahami cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam landskap perniagaan yang sentiasa berkembang. Justeru, kami terus melabur dalam penyelesaian dan sokongan praktikal yang membantu perniagaan memulakan operasi, berkembang dengan yakin serta beroperasi dengan lebih cekap,” kata Ian Ho, Naib Presiden Shopee Malaysia. “Inisiatif terkini ini mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk memperkasa perniagaan tempatan dengan keupayaan yang diperlukan bagi mencapai pertumbuhan mampan, sambil terus menawarkan nilai dan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.”
Membantu Lebih Ramai Usahawan Tempatan Memulakan Perniagaan
Shopee kini memudahkan lebih ramai usahawan tempatan untuk memulakan perniagaan dalam talian melalui penambahbaikan kepada Program Penjual Baharu. Penjual yang layak akan menikmati:
- Pengecualian Yuran Sokongan Platform selama 60 hari, sekali gus mengurangkan kos operasi awal bagi penjual baharu di platform.
- Peningkatan had pesanan sebelum yuran komisen dikenakan, sekali gus memberi lebih fleksibiliti kepada penjual yang layak untuk membina momentum dan melabur semula dalam perniagaan mereka sebelum yuran komisen dikenakan. Manfaat ini ditingkatkan daripada 100 kepada 200 pesanan, dan tersedia selama 120 hari dari tarikh penyenaraian produk pertama atau sehingga had pesanan dicapai, yang mana terdahulu.
Penambahbaikan ini memudahkan usahawan memulakan dan mengembangkan perniagaan dalam talian, sambil memperluaskan pilihan produk untuk pembeli.
Menyokong Penjual Barangan Keperluan Harian
Apabila perniagaan berkembang, pengurusan kos operasi menjadi semakin penting. Bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dalam jangka panjang, Shopee memperkenalkan kadar komisen yang lebih rendah bagi kategori barangan keperluan harian terpilih, termasuk susu, air mineral, bijirin, roti dan telur. Senarai kategori ini akan disemak dan dikemas kini secara berterusan bagi memenuhi keperluan harian pengguna, sambil membantu penjual barangan keperluan kekal berdaya saing.
Struktur komisen baharu ini akan:
- Mengurangkan kadar komisen antara 0.5% hingga 9.0% bagi lebih 60 kategori barangan keperluan harian terpilih, dengan pengurangan terbesar bagi kategori Keperluan Memasak (penambah perisa dan bahan salutan), Krimer serta Mentega & Marjerin, sekali gus membantu meningkatkan keuntungan penjual yang mengambil bahagian.
- Menjadikan jumlah keseluruhan kategori barangan keperluan harian yang menikmati kadar komisen lebih rendah melebihi 120 kategori, sekali gus memberi lebih fleksibiliti kepada penjual untuk melabur semula dalam pertumbuhan perniagaan.
- Membantu pembeli terus menikmati harga yang kompetitif serta akses yang lebih mudah kepada barangan keperluan harian.
Selain kadar komisen yang lebih rendah, Shopee turut membantu penjual meningkatkan peluang jualan menerusi Kempen Diskaun Barangan Keperluan Harian. Berlangsung dari 7 hingga 31 Julai, kempen ini menawarkan baucar diskaun 20% hingga 50% kepada pembeli bagi kategori barangan keperluan harian terpilih.
Membuka Lebih Banyak Peluang Pertumbuhan untuk Penjual
Seiring pertumbuhan perniagaan, Shopee turut memperkenalkan beberapa inisiatif tambahan bagi membantu penjual meluaskan capaian, memperkukuh operasi dan merebut peluang pertumbuhan baharu melalui:
- 50% tambahan Kredit Iklan Percuma menerusi Ads Startup Booster (ASB), bagi membantu penjual yang mengambil bahagian meningkatkan kebolehlihatan produk, memperluaskan capaian kepada pelanggan serta meningkatkan penemuan produk pada peringkat awal perniagaan. Data dalaman Shopee menunjukkan penjual yang mula menggunakan Shopee Ads mencatatkan peningkatan 18% dalam jumlah paparan (impressions), 10% dalam klik, serta 25% dalam Nilai Kasar Barangan (GMV).
- Pengecualian komisen untuk penjual baharu yang menyertai perkhidmatan Fulfilled by Shopee (FBS). bagi mengurangkan kos permulaan dan memudahkan penjual memanfaatkan perkhidmatan gudang serta logistik bersepadu Shopee, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pertumbuhan perniagaan dan menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar kepada pelanggan.
Secara keseluruhannya, inisiatif ini membantu perniagaan beroperasi dengan lebih cekap, sambil terus menawarkan kemudahan, kebolehpercayaan dan nilai yang lebih baik kepada jutaan rakyat Malaysia yang membeli-belah di Shopee.
“Membina sebuah platform yang kukuh memerlukan pelaburan berterusan dalam penyelesaian, keupayaan dan sokongan yang membantu perniagaan menyesuaikan diri serta berkembang mengikut keperluan mereka. Sama ada usahawan baru memulakan perniagaan dalam talian, mengembangkan operasi sedia ada atau memanfaatkan teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti, Shopee akan terus menyokong pertumbuhan perniagaan pada setiap peringkat, sambil menawarkan nilai dan kemudahan yang lebih baik kepada para pembeli,” tambah Ho.
Hashtag: #Shopee
The issuer is solely responsible for the content of this announcement.
Mengenai Shopee
Shopee ialah platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara, Taiwan dan Brazil. Shopee memacu ekosistem digital yang inklusif dan mampan dengan membantu perniagaan beralih ke platform digital serta mengembangkan kehadiran dalam talian mereka, selain memperluas akses orang ramai kepada perkhidmatan digital dan memperkasa komuniti tempatan.
Shopee menawarkan pengalaman membeli-belah yang mudah, selamat dan interaktif, dinikmati oleh jutaan pengguna setiap hari. Shopee juga merupakan penyumbang penting kepada ekonomi digital dengan komitmen kukuh untuk membantu jenama tempatan dan usahawan berkembang maju dalam e-dagang.
Shopee ialah sebahagian daripada Sea Limited (NYSE: SE), sebuah syarikat teknologi global. Misi Sea adalah untuk meningkatkan kualiti hidup pengguna dan perniagaan kecil melalui teknologi menerusi tiga perniagaan terasnya: Shopee, Garena dan Monee.













