Dunia pekerjaan semakin berubah. Krisis COVID-19 telah mempercepatkan aliran struktur sedia ada dan menyebabkan organisasi memikirkan semula pelbagai aspek pekerjaan. Bagaimana pekerjaan dilakukan, di mana dan oleh siapa menjadi lebih pelbagai dan berubah-ubah. Oleh kerana sifat kerja dan cara kita menjana wang terus berubah, ini secara tidak sengaja akan memberi kesan kepada aspek kewangan peribadi yang lain juga.
Sekiranya anda merupakan seorang anak muda Malaysia yang menabung untuk persaraan, masa depan anda mungkin kurang terjamin daripada apa yang anda fikirkan. Walaupun dekad yang akan datang bakal menyaksikan salah satu pemindahan kekayaan terbesar di antara generasi kepada golongan milenial dan Gen Z, tabiat dan tingkah laku kewangan semasa generasi muda ini, serta perubahan sifat kerja, mungkin akan menjejaskan simpanan masa depan mereka.
Sistem Pencen Sedia Ada Tidak Akan Mencukupi
Kajian ICMR di seluruh negara berkenaan golongan milenial dan Gen Z mendapati bahawa 70% responden menjangkakan perubahan dalam kehidupan pekerjaan mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang. Daripada jumlah ini, 61% melihat diri mereka menukar modaliti pekerjaan, sama ada mengambil kerja sampingan atau bekerja sambilan, atau bekerja sebagai pekerja bebas atau menjadi pemilik perniagaan.

Dengan bilangan mereka yang beralih daripada tanggapan tradisional tentang mempunyai satu pekerjaan sepenuh masa semakin meningkat, isu perlindungan dan kecukupan dalam sistem pencen sedia ada akan menjadi lebih parah. Kebijaksanaan persaraan lampau yang bergantung kepada rancangan persaraan tradisional mungkin berkesan untuk ibu bapa dan datuk nenek mereka, tetapi ini tidak mencukupi bagi golongan milenial dan Gen Z untuk mengharungi tahun-tahun keemasan mereka.
Sistem pencen sedia ada di Malaysia sebahagian besarnya adalah berasaskan majikan, dengan sebahagian daripada gaji dipotong secara automatik daripada senarai gaji dan dimasukkan ke dalam simpanan persaraan. Tetapi seperti yang telah kami ketengahkan dalam laporan kami sebelum ini, pekerja gig, pekerja bebas dan pemilik perniagaan kecil tidak dilindungi oleh sistem sedia ada, dan ianya juga tidak mengambil kira pendapatan tambahan dengan tepat daripada pendapatan sampingan atau modaliti pekerjaan lain.
“Saya selesa dengan aturan kerja bebas, dan tidak fikir saya akan kembali bekerja sepenuh masa pada masa hadapan. Tetapi saya sedang berusaha untuk membeli rumah baru-baru ini dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman kerana bank tidak mengiktiraf kerja bebas, walaupun saya dibayar secara konsisten setiap bulan.”
– Hussein, 30, perunding bebas
Mengatasi “Present Bias” Untuk Persaraan Yang Lebih Baik
Tanpa akses kepada pelan pencen berasaskan majikan, golongan muda Malaysia akan dibiarkan memikul tanggungjawab merancang untuk persaraan mereka sendiri. Bagaimanapun, tinjauan ICMR mendapati bahawa bilangan golongan milenial dan Gen Z yang tidak menganggap simpanan persaraan sebagai keutamaan adalah membimbangkan. Sebaliknya, mereka mengutamakan pembelian rumah, barangan mahal, dan mengaut keuntungan daripada pulangan pelaburan yang lebih tinggi.
Ini adalah selaras dengan pencerahan daripada temu bual kualitatif kami, di mana hanya seorang responden mempunyai matlamat kewangan persaraan spesifik. Bagi semua responden lain, persaraan adalah tanggapan yang samar-samar dan jauh, atau terdapat kepercayaan bahawa “ianya akan berlaku sendiri” untuk tujuan persaraan. Ramai juga merasakan bahawa mereka mempunyai terlalu banyak komitmen dan perbelanjaan semasa untuk memikirkan tentang persaraan.

Contoh-contoh ini menunjukkan “present bias” apabila memikirkan tentang persaraan, atau kecenderungan untuk berpuas hati dengan ganjaran semasa yang lebih kecil berbanding menunggu ganjaran masa depan yang lebih besar. Malah, kajian terdahulu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia hanya mula merancang untuk bersara selepas umur 40 tahun, justeru terlepas peringkat pengumpulan jangka panjang yang kritikal yang boleh mengakibatkan perbezaan ketara di dalam simpanan persaraan mereka.
“Saya kehilangan pekerjaan pada Mac 2020. Sekarang saya seorang pemandu Lalamove, dan saya membantu di bengkel rakan untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Sukar untuk memikirkan matlamat kewangan atau membuat apa-apa rancangan jangka panjang apabila saya hanya menumpukan terhadap usaha untuk mendapatkannya dari sehari ke sehari. Saya tidak mempunyai masa atau tenaga untuk mengkaji perkara ini ataupun dana yang mencukupi.”
– Zaim, 34, pemandu Lalamove
Bermula Awal Untuk Mendapat Manfaat Daripada Perancangan Kitaran Hayat
Kekurangan persaraan yang mencukupi dalam kalangan anak muda Malaysia melibatkan kedua-dua peringkat individu, dan juga di peringkat dasar negara. Kesan gabungan penuaan penduduk dan kekurangan simpanan persaraan adalah pelbagai segi dan kompleks, dengan implikasi dasar untuk pasaran buruh, produktiviti, serta institusi sosial dan keluarga.
Golongan milenial dan Gen Z bernasib baik kerana mereka yang mempunyai jangka masa yang lebih lama. Ini membolehkan mereka untuk mendapat manfaat daripada perancangan kitaran hayat yang lebih baik berdasarkan tahap risiko mereka sendiri. Oleh itu, adalah penting bagi individu mengambil langkah pertama seawal mungkin dalam menilai keadaan kewangan keseluruhan mereka, dan membuat pelan kewangan dan pelaburan jangka panjang yang sesuai dengan keperluan dan gaya hidup mereka.
Apa yang boleh membantu ialah memikirkan tentang simpanan persaraan sebagai pengumpulan kekayaan. Membina tabung persaraan yang besar menjadi lebih sukar di kemudian hari apabila seseorang mempunyai lebih banyak perbelanjaan, seperti keluarga dan hutang rumah. Tetapi dengan bermula awal, menabung untuk persaraan boleh menjadi sesuatu yang jauh lebih menyenangkan – dan mengujakan. Jumlah sedikit yang disimpan untuk persaraan hari ini boleh membawa perubahan yang besar di masa hadapan.
Dengan masa menyebelahi mereka, golongan milenial dan Gen Z boleh memanfaatkan kuasa faedah berganda dan meminimumkan kesan turun naik pasaran terhadap pelaburan mereka. Mereka juga boleh membuat keputusan yang lebih baik tentang pilihan kerjaya, pendidikan dan gaya hidup mereka, yang boleh memberi impak besar terhadap masa depan kewangan mereka.

Mereka Semula Persaraan Untuk Masa Depan
Memandangkan sifat kerja yang terus berevolusi di Malaysia dan di seluruh dunia, adalah penting bagi individu untuk menyedari kesannya terhadap kewangan peribadi mereka, terutamanya yang berkaitan dengan perancangan persaraan. Sementara itu, penggubal dasar juga perlu memainkan peranan mereka dalam memastikan sistem pencen semasa adalah mencukupi dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia.
Kesimpulannya, membina masa depan kewangan yang mampan dan terjamin untuk semua rakyat Malaysia memerlukan gabungan tindakan individu dan reformasi sistemik. Dengan mengutamakan perancangan awal dan komprehensif, serta menangani jurang dasar, kita dapat memastikan semua rakyat Malaysia berpeluang untuk bersara dengan selesa dan bermaruah.
Artikel ini adalah sebahagian daripada siri kandungan oleh Institute for Capital Market Research (ICMR). Ikuti laman Facebook ICMR untuk mendapatkan info terkini tentang petua tingkah laku dan pandangan, untuk tabiat pelaburan yang lebih baik. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kajian ICMR ke atas milenial dan Gen Z, layari www.icmr.my atau muat turun laporan penuh di sini.
Mengenai Penulis

