Kita akan melihat kepada modus operandi yang digunakan oleh Lidt Cooperation Advertising Sdn Bhd atau Lidl Cooperation Advertising Sdn Bhd. Kedua nama ini merupakan nama palsu yang digunakan untuk memerangkap mangsa.
Modus operandi yang digunakan oleh syarikat ini mempunyai persamaan sepertimana yang penulis telah perincikan di dalam siri pertama dan siri kedua bertajuk “Penipuan Pencarian Pekerjaan Dalam Talian: Bagaimana Mengenali Dan Melaporkan Penipuan Pekerjaan” dan “Penipuan Pencarian Pekerjaan Atas Talian: Bagaimana Mengenali Pemalsuan Identiti Dan Melaporkan Penipuan Pekerjaan Di Telegram” telah diterbitkan.
Di dalam siri pertama, penulis memperincikan tentang bagaimana sindiket penipuan ini menawarkan peluang pekerjaan untuk melanggan saluran di YouTube atau sebagai pembantu promosi produk Shopee manakala pada siri kedua, penulis memperincikan jenis penipuan yang berlaku di Telegram, dan boleh dikategorikan kepada beberapa jenis: pertama, dengan menggodam akaun dan mencuri identiti seseorang, kedua, skim Pelaburan NORDFX Trader yang menjanjikan hasil pulangan yang terlalu sempurna untuk dipercayai.
Dua siri ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang menyamar sebagai individu yang ingin mencari peluang pekerjaan dan secara tidak sengaja, menjumpai sindiket penipuan ini dan mengambil keputusan untuk menyiasat dengan lebih lanjut.
Maka ini adalah kesinambungan daripada dua siri yang terdahulu. Apa yang menjadikan perkongsian ini sedikit berbeza kerana ianya merupakan pengalaman seorang mangsa yang mengalami sendiri peristiwa ini. Mangsa juga bersetuju untuk berkongsi pengalaman dengan syarat identiti beliau dirahsiakan.
Mangsa sendiri memberikan kebenaran dan persetujuan untuk menyiarkan pengalaman beliau sebagai satu langkah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana mengenai kewujudan sindiket-sindiket penipuan seperti ini.
Berikut merupakan perkongsian beliau:
1. Pihak majikan (Lidt Cooperation Advertising Sdn Bhd atau Lidl Cooperation Advertising Sdn Bhd) telah menghubungi saya melalui Whatsapp dengan mengatakan bahawa mereka mendapat maklumat peribadi saya di JobStreet (Gambar 1, kiri). Benar saya dalam usaha untuk mendapatkan peluang pekerjaan, kerana dengan pendapatan semasa sedia ada, saya tidak berkemampuan sama sekali untuk membuat sebarang simpanan
2. Menggunakan enjin carian Google, saya tidak menjumpai sebarang maklumat yang berkaitan dengan organisasi mereka, seperti profil dan nombor telefon syarikat. Carian di JobStreet, LinkedIN, dan Indeed turut menunjukkan hasil yang sama.
3. Mereka akan mengumpan mangsa untuk melakukan tugasan mudah dengan meminta mangsa memberikan “like” kepada beberapa buah video di Youtube, kebiasaanya mangsa akan diminta untuk memberikan “like” kepada tiga video yang berbeza dan akan mendapat RM15 sebagai bayaran atas kerja mereka. Mangsa akan menerima RM15 ini dalam selang beberapa jam (Gambar 2, kanan).
Gambar 1: Kiri (Nombor telefon yang digunakan untuk mengajak dan berhubung dengan mangsa), kanan (perbualan di WhatsApp dengan individu yang mengajak mangsa)
4. Tiada sebarang kontrak (hitam putih) bagi pekerjaan ini. Apatah lagi terma dan syarat yang dikenakan oleh majikan kepada pekerja (ini adalah satu tanda yang mungkin kita boleh perhatikan, ada sesuatu yang tidak kena disini).
5. Tiada proses temuduga berlangsung, sama ada melalui panggilan telefon atau secara atas talian (melalui Zoom, Google Meet, Microsoft Team dan lain-lain). Atas alasan pekerjaan ini adalah pekerjaan sepenuh masa atau separuh masa sahaja (juga adalah satu tanda yang mungkin kita boleh perhatikan, ada sesuatu yang tidak kena disini).
6. Mangsa akan diberikan link Telegram untuk menghubungi pegawai perkhidmatan pelanggan mereka yang bernama Steven (Gambar 3, kiri).
7. Mangsa akan dimasukkan ke dalam satu kumpulan di Telegram sebagai permulaan. Steven akan memberikan mangsa tugasan yang dikategorikan sebagai “PROJECT”. Setiap tugasan akan dapat bayaran. Mangsa akan diperdayakan, dibutakan dengan menerima duit bayaran ke dalam bank mereka hanya dengan membuat tugasan memberikan “like” kepada video sahaja.
8. Mangsa akan diberikan satu tugasan. Dan link untuk tugasan tersebut seperti yang berikut: (https://m.lidlcooperation.com/home). Tetapi, bagi tugasan ini, mangsa akan diminta untuk membayar sejumlah wang sebagai deposit. Dalam kes ini, pegawai perhubungan pelanggan, Steven akan menentukan jumlah deposit tersebut. Mangsa cuma mengikut apa yang diarahkan oleh Steven, tugasan ini mempunyai tiga transaksi. Mangsa tidak diberitahu berapa jumlah deposit yang perlu dikeluarkan sehingga mangsa mencapai RM600 sebagai deposit.
Gambar 3: Kiri (Mangsa diperkenalkan dengan pegawai perhubungan pelanggan – Steven), kanan (mangsa dijemput memasuki kumpulan di dalam Telegram)
9. Mangsa akan terikat membuat tugasan, kerana sistem ini telah direka untuk memerangkap mangsa dan mereka tidak dapat melepaskan diri. Tugasan ini bermula dari tugasan 1, mangsa diminta untuk memberi “like” kepada beberapa video di YouTube. Ini akan berterusan sehinggalah ke tugasan ke-18 yang bersambung dengan tugasan memberikan “like” kepada video.
Pada peringkat ini, setelah mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan di Telegram, beberapa akaun palsu yang menyerupai individu-individu yang normal diwujudkan agar memberi tanggapan bahawa ada orang lain turut sama dalam menjalankan pekerjaan ini dan mereka tidak berseorangan. Penglibatan dari akaun-akaun palsu ini amat aktif, seolah-olah mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan ahli yang menyertai. Sehingga pada satu ketika, mangsa akan merasa ketinggalan jika tidak turut serta dalam aktiviti mereka ini kerana kelihatan amat meyakinkan.
Walaubagaimanapun, akaun ini sebenarnya dikendalikan oleh bot yang menyerupai/meniru cara percakapan manusia biasa. Selepas itu, Pegawai perhubungan pelanggan mereka akan meminta lagi wang deposit sebanyak RM150. Seterusnya, meminta deposit kedua sebanyak RM2k (ini juga adalah satu tanda yang mungkin kita boleh perhatikan, kerana tidak mungkin ada sebarang peluang pekerjaan yang meminta kita memberikan deposit wang terlebih dahulu untuk mendapatkan bayaran bagi pekerjaan yang telah kita lakukan).
10. Saya tidak mempunyai sejumlah wang dengan nilai tersebut. Dan duit RM600 yang telah saya keluarkan terlebih dahulu untuk tujuan membayar deposit juga tidak dapat dibawa keluar. Sekiranya saya gagal untuk membayar deposit RM2k mereka tidak akan ambil kisah tentang deposit yang awak telah keluarkan sejak dari awal lagi. Akan dikira lesap begitu sahaja.
11. Apabila saya memberi pesanan/chat kepada semua individu di dalam group tersebut, balasan jawapan pesanan mereka adalah seperti keluar daripada “bot”. Menggunakan bahasa Melayu pun mereka tidak mampu, walaupun menggunakan gambar seolah-olah orang tempatan. Mereka akan memberikan jawapan “I don’t even know you“.
Perbualan yang ada di ruangan sembang/chat adalah daripada “bot-bot” sendiri untuk mewujudkan suasana yang biasa dalam kumpulan sembang/chat dan tiada apa-apa yang ganjil mengenainya. Sehingga pada satu ketika, saya telah diberikan amaran oleh pekerja mereka, jika tidak mahu komited membuat tugasan, saya mesti berhenti menganggu orang lain. Ini menandakan bahawa penipuan mereka telah terbongkar dah saya telah mengetahui bahawa mereka ini adalah scammer (Gambar 4, kanan).
12. Mereka telah menendang/mengeluarkan saya dari kumpulan Telegram tersebut. Selepas saya cuba untuk menghubungi semua individu di dalam kumpulan tersebut.
13. Saya cuba untuk menghubungi semula nombor WhatApp yang menawarkan saya pekerjaan sebelum ini. Tidak berjaya kerana mereka telah menyekat nombor telefon saya.
Kesimpulannya, harap mereka yang di luar sana sentiasa berjaga-jaga. Tidak dapat dinafikan, dengan kos taraf hidup yang kian meningkat, komitmen bulanan, dan lain-lain perkara yang di luar jangka menyebabkan pekerjaan hakiki tidak mencukupi untuk kita membuat sebarang tabungan untuk hari-hari kecemasan. Hal ini ditambah apabila kita bekerja di bandar besar seperti Kuala Lumpur, yang sudah pasti kos taraf hidup di sini lebih tinggi berbanding dengan bandar-bandar lain di seluruh Malaysia.
Namun, dalam mencari rezeki dan pendapatan sampingan, kita perlu sentiasa berjaga-jaga dan beringat dan ambillah ikhtibar atas pengalaman ini. Saya telah dibutakan dengan duit mudah, kerja yang cukup mudah menyebabkan saya hilang pertimbangan dan menjadi mangsa. Apabila berdepan dengan tawaran pekerjaan yang terlalu sempurna untuk berlaku di alam nyata ini, rujuklah kepada rakan-rakan yang terdekat, jangan mengambil keputusan secara melulu tanpa memikirkan akibat atas tindakan yang kita ambil ini.
Saya juga berasa kasihan kepada gambar-gambar individu yang digunakan sebagai alat penipuan, yang diletakkan sebagai profil gambar bot-bot. Sedikit nasihat daripada saya, jangan berkongsi gambar-gambar peribadi kita secara berlebihan, dua-tiga keping gambar mungkin mencukupi, kerana ada kemungkinan gambar-gambar peribadi akan digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai alat penipuan di luar pengetahuan kita sendiri.
Mengenai Penulis
Rashid Ating. Penyelidik di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, dan Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Lagi artikel menarik dari Rashid Ating:
- Kajian Perancangan Persaraan Dalam Kalangan Penjawat Awam Di Malaysia. Juga Perbandingan Malaysia Dengan Kesatuan Eropah Dan Negara Maju Yang Lain
- 6 Tips Persediaan Perancangan Persaraan Dalam Kalangan Penjawat Awam
- Patterns And Types Of Cybercrime In Malaysia From 2016 To 2021: Part 1
- Patterns And Types Of Cybercrime In Malaysia From 2016 To 2021: Part 2