Kerjasama strategik ini berusaha memenuhi permintaan yang semakin besar bagi penyelesaian Syariah dan lestari di samping menghasilkan keputusan pelaburan lebih baik.
AIIMAN Asset Management Sdn Bhd (“AIIMAN” atau “Syarikat”) mengumumkan hari ini bahawa pihaknya telah menjalin pakatan strategik dengan Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) untuk menjadikan bank tersebut sebagai rakan pengedar pertamanya. Menerusi kerjasama ini, rangkaian dana pelaburan berlandaskan Syariah di bawah pengurusan AIIMAN kini ditawarkan menerusi saluran pengedaran Bank Islam.
Akmal Hassan, Pengarah Urusan AIIMAN berkata, “Menerusi pakatan dengan Bank Islam, AIIMAN disokong rakan kerjasama yang dipercayai untuk meluaskan capaian penyelesaian kekayaan kami kepada kumpulan pelabur yang lebih besar, terutamanya segmen pelabur runcit. Bank Islam mempunyai pengalaman luas dalam industri kewangan Syariah dan juga rangkaian pengedaran kukuh, menjadikannya rakan yang ideal untuk mengedarkan dana kami lebih-lebih lagi dengan permintaan pelabur yang semakin meningkat bagi dana patuh syariah dan dana lestari.”
“Persamaan antara prinsip Syariah dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), semakin mendapat perhatian ramai. Justeru dana berasaskan nilai kini menarik minat kumpulan pelabur lebih luas sambil pelabur menjajarkan objektif pelaburan dengan prinsip dan kepercayaan masing-masing. Pakatan strategik kami bertujuan memanfaatkan trend yang semakin meluas ini untuk mencapai keputusan pelaburan lebih baik dan menggalakkan pertumbuhan pelaburan Syariah dan lestari dalam industri.
“Hari ini juga menandakan satu mercu jaya penting bagi AIIMAN sambil kami memeterai kerjasama pengedaran sulung kami dengan Penasihat Unit Amanah Institusi (IUTA) perbankan Islam. Langkah ini sesungguhnya satu perkembangan positif yang mendukung wawasan AIIMAN untuk menjadi penyedia penyelesaian pelaburan patuh Syariah sehenti sambil kami meluaskan capaian dan ekosistem kami,” kata Akmal.
Mizan Masram, Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit Kumpulan, Bank Islam menambah, “Penyertaan AIIMAN dalam rangkaian dana yang kami edarkan bukan sahaja memenuhi Rancangan Perniagaan Strategik 5 tahun (LEAP25) kami, tetapi juga mengukuhkan asas bagi model seni bina terbuka Pengurusan Kekayaan Islam yang disediakan Bank Islam untuk tahun-tahun akan datang.”
“Sejajar dengan wawasan kami untuk membawa kemakmuran untuk semua, Bank Islam komited untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang menghasilkan keputusan pelaburan yang lebih mantap dan lestari. Menerusi AIIMAN, kami telah mengenal pasti beberapa produk dan perkhidmatan baharu yang akan ditawarkan kepada para pelabur kami berasaskan selera risiko dan matlamat pelaburan masing-masing,” tambahnya.
Buat permulaan, AIIMAN akan memasukkan tiga (3) daripada dana terasnya ke dalam platform pengedaran Bank Islam, iaitu:
- Aiiman Global Equity Fund yang melabur dalam portfolio ekuiti syariah terpelbagai di peringkat global
- Aiiman Asia Pacific (ex Japan) Dividend Fund yang mengguna pakai strategi barbel untuk melabur dalam sekumpulan ekuiti patuh Syariah dengan kadar hasil dividen tinggi dan sebahagian lagi dana dalam syarikat peneraju yang berpotensi membayar dividen pada masa depan
- Aiiman Income Extra Fund yang bertujuan memberi pelabur aliran pendapatan mapan dengan melabur dalam Sukuk, instrumen pasaran wang Islam dan deposit Islam.
Prestasi dan rekod pencapaian kukuh AIIMAN telah mendapat pujian dan pengiktirafan industri. Berlandaskan platform Syariah dari mula hingga akhir, falsafah pelaburan AIIMAN berpandukan usaha mencapai prestasi mutlak dalam pelbagai keadaan pasaran dengan tumpuan jelas pada penilaian asas dan teknikal. Di Anugerah Pelaburan Profesional 2023 anjuran Insights & Mandate, AIIMAN berjaya dinobatkan sebagai ‘Firma Dana Islam Terbaik ASEAN’ buat tahun kedua berturut-turut.
Setakat pada 30 Jun 2023, Aset Di Bawah Pentadbiran (AUA) AIIMAN berjumlah kira-kira RM27.30 bilion. AUA terdiri daripada aset di bawah pengurusan, penasihat pelaburan dan aset dalam edaran.
Akmal Hassan, Pengarah Urusan & Pengarah Eksekutif of AIIMAN Asset Management Sdn Bhd